DUN Sarawak sah terbubar, SPR akan adakan mesyuarat khas PRN

0
67
Gambar hiasan

CYBERJAYA – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sudah menerima pemakluman rasmi berhubung penamatan Proklamasi Darurat bagi Sarawak sekali gus membolehkan Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan.

Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, pemakluman rasmi itu diterima daripada Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg, selepas Yang di-Pertuan Agong memberi perkenan supaya Proklamasi Darurat bagi Sarawak ditamatkan, semalam, sebagaimana termaktub bawah Seksyen 2(2) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu)(Sarawak) 2021.

Beliau berkata, berdasarkan Seksyen 3(3) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu)(Sarawak) 2021, Dewan Undangan Negeri hendaklah terbubar pada tarikh Proklamasi Darurat (Sarawak) dibatal atau diungkaikan.

“Bawah Seksyen 3(4) ordinan sama, suatu pilihan raya umum hendaklah diadakan dalam tempoh 60 dari tarikh Proklamasi Darurat (Sarawak) dibatal atau diungkaikan.

“Justeru, SPR akan mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan pelaksanaan pilihan raya itu. Tarikh mesyuarat berkenaan akan dimaklumkan kemudian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, memberi perkenan supaya Proklamasi Darurat bagi Sarawak ditamatkan.

Pemangku Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Azuan Effendy Zairakithnaini, dilaporkan berkata ia berikutan permohonan Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud, untuk menamatkan darurat di negeri itu, pada sesi menghadap Seri Paduka di Istana Negara, kelmarin.

Beliau berkata, baginda memberi perkenan itu selepas memperhalusi sembah nasihat Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, semalam, serta sembah taklimat Peguam Negara dan pandangan ketua agensi kerajaan, kelmarin, berhubung perkara berkenaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here