Ejen pusat mengundi diarah keluar, PH buat laporan polis

0
57
Mohd Rafee Ibrahim

MELAKA – Pakatan Harapan (PH) membuat laporan polis selepas seorang ejen pusat mengundi parti itu diarah keluar keluar oleh Ketua Tempat Mengundi (KTM) dari saluran mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Bendahara Seri Maharaja, di sini pagi tadi.

Calon PH Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Molek, Mohd Rafee Ibrahim mendakwa insiden itu berlaku sekitar jam 10 pagi apabila ejen pusat mengundinya diarah keluar dengan alasan sudah bertugas melebihi tempoh dua jam.

Mohd Rafee berkata, arahan KTM itu bertentangan dengan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5), sekali gus menggesa pihak berkuasa menyiasat kemungkinan salah guna kuasa dan penipuan berlaku ketika ketiadaan ejen PH dalam saluran mengundi itu.

“Satu laporan di daerah mengundi Kandang dibuat selepas ejen tempat mengundi saya diarah keluar daripada saluran mengundi atas alasan tempoh bertugas dua jam sudah berakhir.

“Isunya KTM tidak faham undang-undang kerana Akta 5 memperuntukkan ejen kita boleh bertugas minimum dua jam. Adakah KTM tidak faham akta atau ia sengaja dibuat?

“Saya harap pihak polis menyiasat perkara ini, dan pasukan undang-undang PH juga akan berbincang untuk meneliti tindakan lanjut,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Rafee turut menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memastikan KTM yang bertugas memahami bidang kuasa dan peruntukan undang-undang bagi memastikan kejadian seumpamanya tidak berlaku.

“Jika ada isu berbangkit, KTM sepatutnya menghentikan proses mengundi sementara bagi mendapat pengesahan untuk berlaku adil kepada semua pihak.

“Dalam kes ini, ejen kami tiada dalam saluran mengundi selama lebih 30 minit. Dalam tempoh itu, pelbagai perkara boleh berlaku,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here