Enam penuntut UPNM terlepas tali gantung

0
47
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Enam penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang didapati bersalah atas tuduhan membunuh dan bersubahat membunuh Pegawai Kadet Laut UPNM, Zulfarhan Osman Zulkarnain terlepas hukuman gantung sampai mati.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Azman Abdullah membuat keputusan itu atas pertuduhan menyebabkan kematian tanpa niat di bawah Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan boleh juga dikenakan denda.

Enam tertuduh berusia 25 tahun itu ialah Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali.

Tertuduh itu sebelum ini menghadapi pertuduhan membunuh Zulfarhan Osman di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, 12 penuntut lain juga didapati bersalah menyebabkan kecederaan terhadap Zulfarhan di bawah
Seksyen 330 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun dan denda.

Pada 31 Julai 2019, Mahkamah Tinggi memerintahkan 18 pelajar UPNM, yang kesemuanya berusia 25 tahun, membela diri terhadap pertuduhan membunuh, bersubahat membunuh dan mencederakan Zulfarhan Osman selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie pada akhir kes pendakwaan terhadap 18 tertuduh itu.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di bilik 04-10, blok penginapan asrama Jebat, UPNM antara 4.45 pagi hingga 5.45 pagi, 22 Mei 2017.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here