Hati-hati dengan strategi pembunuhan karakter

0
37
AHMAD ZAHID

CYBERJAYA – Pengundi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dinasihatkan supaya berhati-hati dengan strategi pembunuhan karakter calon Barisan Nasional yang digunapakai oleh pihak tertentu.

Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, strategi itu bertujuan untuk mengalih perhatian rakyat daripada isu pokok yang dihadapi masyarakat, kepada isu yang menyerang peribadi calon BN.

Ahmad Zahid turut mendakwa, strategi yang sama itu turut digunapakai oleh pihak tertentu pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2018.

“BN bercerita tentang mengembalikan kestabilan demi kemakmuran Melaka, mereka pula gigih memperlekeh calon BN.

“Semoga rakyat Melaka tidak menghiraukan itu lagi kerana yang penting bersama mengembalikan Melaka ke landasan sebenar,” kata Ahmad Zahid dalam satu paparan di akaun Facebook miliknya, hari ini.

“Kita sudah bosan dengan pendekatan lawan politik BN menghasut rakyat membenci dan memandang hina peribadi.

“Apa yang kita perdebatkan kompetisi ideologi, dasar, kemampuan, keberkesanan mentadbir, kejujuran dan keikhlasan parti,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, BN fokus untuk kembali sebagai sebuah kerajaan demi masa depan rakyat dan negara.

“Justeru misi rakyat Melaka memastikan kemenangan BN dalam PRN kali ini juga merupakan misi seluruh rakyat Malaysia,” katanya lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here