HPTN inisiatif terbaik lahir tenaga mahir bidang teknikal

0
43
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali (duduk tengah) bergambar kenangan bersama rakan strategik pada Majlis Pra-Pelancaran Sambutan Hari Profesion Teknikal Negara 2021 di Menara Kerja Raya, Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR – Sambutan Hari Profesion Teknikal Negara (HPTN) tahun 2021 yang dianjurkan oleh Kementerian Kerja Raya merupakan satu inisiatif yang sangat baik.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali berkata, HTPN dianjurkan bagi bagi memberi galakan dan melahirkan tenaga mahir dalam bidang teknikal sebagaimana yang telah digariskan di dalam strategi Rancangan Malaysia ke-12.

Mohd Zuki berkata, sambutan berkenaan. juga adalah sebagai tanda pengiktirafan kepada warga profesion teknikal dalam usaha membangunkan infrastruktur negara.

“Dengan tema ‘Menggerakkan Negara Melangkaui Aspirasi’, ia bertepatan dengan situasi peralihan ke fasa endemik ini.

“Ia memerlukan kebersamaan semua pihak walaupun berbeza bidang, namun hendaklah menjadi satu keluarga yang dapat bersama-sama menggalas tanggungjawab untuk memulih dan merancakkan semula pembangunan ekonomi negara.

“HPTN 2021 adalah simbolik penghargaan kepada jasa warga teknikal atas sumbangan terhadap kemajuan infrastruktur dan landskap pembangunan.

“Mengambil kira pentingnya Profesion Teknikal kepada pembangunan ekonomi negara dan kesejahteraan dan Kemakmuran Keluarga Malaysia, adalah wajar Profesion Teknikal ini diiktiraf ke tahap yang lebih tinggi”, katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pra-Pelancaran Sambutan Hari Profesion Teknikal Negara 2021 di Menara Kerja Raya, di sini hari ini.

Tambah Mohd Zuki, cabaran ini memerlukan transformasi dari pelbagai aspek antaranya keperluan pemikiran ‘digital-first’ dan peningkatan penggunaan teknologi digital dalam sektor awam.

Dalam pada itu katanya, perkhidmatan awam berprestasi tinggi dapat dicapai melalui penjawat awam yang berkaliber sebagai pemimpin, berkepakaran, berinovasi dan berani menghadapi cabaran bersandarkan nilai integriti, akauntabiliti dan ketelusan.

“Transformasi perkhidmatan awam ke arah perkhidmatan berprestasi tinggi adalah antara inisiatif yang terkandung dalam RMK-12.

“RMK-12 juga bakal menyaksikan perkhidmatan kerajaan dalam talian dari mula hingga akhir (E2E) disasar meningkat kepada 80 peratus menjelang 2025.

Justeru, katanya, kakitangan profesion teknikal sektor awam perlu turut serta memainkan peranan membantu kerajaan merancakkan kembali ekonomi negara yang terkesan akibat pandemik Covis-19.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here