Hukum haram guna andorid box dapatkan siaran berbayar secara percuma

0
52
Gambar hiasan

CYBERJAYA – Perbuatan menggunakan alat android box untuk mendapatkan siaran berbayar dari mana-mana syarikat penyiaran adalah dilarang dalam Islam.

Menurut Pejabat Mufti Wilayah, perbuatan itu adalah sama mengambil hak orang lain dengan cara yang batil dan menzalimi syarikat penyiaran serta pihak-pihak berkaitan dengannya.

“Perbuatan ini juga telah dilarang oleh Allah SWT melalui firman-Nya dalam Surah al-Baqarah ayat 188 yang bermaksud “Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah”,” katanya menerusi perkongsian dalam Irsyad al-Fatwa hari ini.

Menurut kenyataan itu, sekiranya siaran itu ditayangkan secara percuma tidak timbul sebarang isu syariah kerana boleh digunakan oleh semua orang.

Namun begitu, katanya, timbul isu syariah bagi kategori siaran berbayar yang sepatutnya pengguna bayar terlebih dahulu untuk mendapat akses siaran tersebut.

Katanya, terdapat keadaan di mana pengguna peranti tersebut mendapat akses kepada siaran berbayar tanpa melanggannya yang seterusnya menyebabkan kerugian kepada syarikat penyiaran.

“Selain itu, permasalahan ini juga berkait rapat dengan hak cipta dan lesen penyiaran. Hak cipta, penyiaran dan seumpama dengannya adalah merupakan hak yang diiktiraf syarak.

“Ini dapat dilihat melalui kenyataan Dr Abu Ghuddah yang menyatakan bahawa cap dagangan, nama syarikat, tulisan atau ciptaan seseorang dalam konteks semasa dianggap mempunyai nilai di sisi syarak.

“Oleh itu, tidak boleh untuk seseorang mencerobohi hak tersebut atau menggunakannya dengan cara yang salah seperti mencetak tanpa kebenaran, menggodam atau menggunakannya tanpa membayar atau melanggannya,” ujarnya.

Sementara itu, mengulas mengenai pembelian alat peranti itu bagi menonton siaran percuma, katanya, pembelian atau penggunaannya adalah diharuskan syarak sekiranya menepati syarat dan rukun jual beli.

Katanya, hal itu adalah berdasarkan kaedah fekah yang bermaksud hukum asal suatu perkara adalah harus sehingga terdapat perkara yang membawa kepada pengharamannya. 

Bagaimanapun, tegasnya, sekiranya pembelian peranti tersebut adalah bertujuan untuk mendapatkan akses siaran berbayar dengan cara yang salah maka ianya adalah haram sebagaimana perbincangan di atas.

“Ini adalah bertepatan dengan kaedah fekah yang bermaksud setiap perkara itu bergantung dengan niat tujuannya,” tegasnya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here