Ibu tunggal kerugian RM85,700 ditipu kenalan media sosial

0
44
Gambar hiasan

ALOR GAJAH – Hanya kerana mempercayai janji-janji manis seorang kenalan yang dikenali melalui laman sosial, seorang ibu tunggal dari Masjid Tanah dekat sini kerugian RM85,700.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu, berkata mangsa berusia 59 tahun itu mula berhubung dengan suspek sejak Julai lalu selepas dihubungi menerusi Instagram.

“Suspek menggunakan nama Ahmed Hashima dan mengaku tinggal di Amerika Syarikat.

“Sepanjang perkenalan itu, mangsa telah dijanjikan dengan kiriman hadiah mewah berupa beg tangan, kasut, dompet, jam tangan berjenama, rantai dan gelas emas serta wang berjumlah USD15,000 (RM52,500) sebagai tanda persahabatan,”katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Arshad, penipuan bermula pada 2 Ogos lalu apabila mangsa menerima mesej menerusi aplikasi WhatsApp yang didakwa dari Pejabat Pos Laju Kuala Lumpur yang memaklumkan kiriman barang-barangnya telah sampai.

Bagaimanapun katanya, kiriman tersebut tidak boleh terus dihantar kerana mempunyai beberapa prosedur yang perlu diselesaikan dan memerlukan mangsa membuat pembayaran.

Arshad berkata, mangsa kemudian membuat pembayaran secara berperingkat-peringkat melibatkan empat transaksi ke akaun bank berbeza.

“Difahamkan, mangsa menggunakan wang simpanan arwah suaminya dan membuat bayaran bermula Ogos hingga Oktober lalu berjumlah RM85,700, namun masih tidak menerima barangan itu.

“Suspek masih meminta wang, sehinggalah mangsa menyedari dirinya diperdaya dan membuat laporan polis. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here