Iklan pakej umrah perlu kelulusan Pesuruhjaya Pelancongan tahun depan

0
24
Mekah semasa covid
Gambar hiasan.

CYBERJAYA – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) memaklumkan sebarang pengiklanan berkaitan pakej umrah perlu mendapat kelulusan Pesuruhjaya Pelancongan bermula 1 Feb tahun depan.

MOTAC dalam kenyataan semalam berkata, berkuatkuasa tarikh itu, semua pengendali pelancongan berlesen atau mana-mana syarikat pengendali umrah tidak lagi dibenarkan mengiklankan pakej tanpa kelulusan.

Penguatkuasaan itu berdasarkan Peraturan 6(1A) (a), Akta Industri Pelancongan 1992 [Akta 482], sebagai langkah mengenal pasti iklan haram pakej umrah.

“Mana-mana syarikat pengendali umrah yang mengiklankan pakej umrah tanpa kelulusan Pesuruhjaya Pelancongan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya,” menurut kenyataan itu.

Perkara tersebut diputuskan dalam mesyuarat Majlis Kawal Selia Umrah (MKSU) dipengerusikan Menteri Pelancongan , Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri yang turut disertai wakil Kementerian Luar Negeri; Jabatan Imigresen Malaysia; Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji; Lembaga Tabung Haji; Polis Diraja Malaysia; persatuan-persatuan pengendali umrah dan agensi lain yang berkaitan.

Menurut kenyataan itu lagi, setiap iklan umrah yang diluluskan akan diberi nombor siri khas yang perlu dipaparkan dan borang permohonan boleh dimuat turun di www.motac.gov.my.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here