
BAGHDAD – Serangan dron bunuh diri yang mensasarkan kediaman Perdana Menteri Iraq, Mustafa al-Khazimi dipercayai dilancarkan oleh kumpulan militia yang mendapat sokongan Iran.
Menurut Reuters yang memetik sumber keselamatan Iraq, dron dan bahan letupan itu disahkan dikeluarkan di Iran.

Dalam kejadian itu, al-Khadimi hanya mengalami kecederaan ringan, namun tujuh pengawal peribadinya dilaporkan parah.
Kata sumber keselamatan itu lagi, sebanyak tiga buah dron membawa letupan dilancarkan, namun hanya satu berjaya mengenai sasaran dengan dua lagi berjaya ditembak jatuh.

Bagaimanapun, dua ahli politik tempatan dari puak Syiah menafikan serangan itu mempunyai kaitan dengan Iran.
Kedua-dua ahli politik yang tidak dinamakan itu berkata, Iran sudah menyatakan pendirian tidak akan masuk campur dalam urusan politik negara jirannya.
Pendirian itu dinyatakan oleh Komander Briged Al-Quds, Jeneral Esmail Ghaani yang baru-baru ini melawat Iraq secara rahsia.
Briged Al-Quds merupakan cabang tentera Iran yang bertanggung jawab terhadap operasi ketenteraan dan misi rahsia di luar negara.
Ketika dalam rangka lawatannya, Jeneral Esmail difahamkan turut bertemu dengan al-Kadhimi pada Ahad, dan kemudiannya Presdien Iraq, Barham Salih.
Difahamkan, dalam pertemuan itu, Jeneral Esmail menyatakan bahawa “Iraq perlukan keamanan bagi menjamin kestabilannya”, dan sebarang tindakan yang mengancam keselamatan negara itu perlu dielakkan.