Isu calon KM Melaka dari BN tidak perlu diperjelas lagi

0
88

MELAKA – Calon Barisan Nasional (BN) bagi DUN Tanjung Bidara, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh menganggap isu calon Ketua Menteri Melaka sudah selesai selepas ia diumumkan sejak awal November lalu.

Ab. Rauf berkata, sebagai ahli parti yang patuh pada arahan, persoalan mengenai siapa yang akan mengisi jawatan itu sekiranya BN diberi mandat mentadbir negeri Melaka tidak perlu lagi diperbesarkan.

“Saya tak pernah pun disebut sebagai bakal ketua menteri ataupun calon ketua menteri kerana parti telahpun membuat cadangan yang calon ketua menteri itu adalah Datuk Seri Sulaiman Md. Ali.

“Jadi, jangan kaitkan saya dalam isu ini,” kata Ab. Rauf.

Tambah bekas speaker DUN Melaka itu lagi, dia berpendapat tiada faedah untuk terus bercakap mengenai isu calon ketua menteri kerana ia adalah hak parti untuk menentukannya.

Apa yang perlu diutamakan sekarang, katanya, adalah memenangi pilihan raya.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini, Rauf berdepan dengan Ahli Parlimen Masjid Tanah, Mas Ermieyati Samsudin yang mewakili Perikatan Nasional (PN) dan Zainal Hassan dari Pakatan Harapan (PH).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here