Jangan salah buat pilihan, elak tragedi lompat-melompat di Melaka

0
7
Datuk Seri Sulaiman Md. Ali

MELAKA- Datuk Seri Sulaiman Md Ali menyeru rakyat Melaka agar tidak salah membuat pilihan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka esok.

Sulaiman berkata, rakyat perlu keluar menunaikan tangungjawab memilih kerajaan baharu untuk memastikan masa depan lebih baik untuk Melaka.

Beliau berkata, segalanya terletak di tangan rakyat untuk memastikan kerajaan baharu yang stabil dan kukuh untuk tempoh lima tahun akan datang.

“Di peringkat awal lagi saya sudah minta jentera untuk sampaikan maklumat di bawah bahawa jika tidak keluar mengundi sekarang, tiada lagi pilihan raya negeri tahun depan.

“PRN esok adalah untuk memilih kerajaan negeri baharu untuk tempoh lima tahun akan datang.

“Kalau kita tidak keluar mengundi maknanya kita kena tunggu sehingga 2026 baru boleh pilih kerajaan sekali lagi, jika ada pilihan raya tahun depan sekalipun, ia hanyalah untuk memilih kerajaan persekutuan atau memilih ahli Parlimen dari Melaka,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Justeru, beliau berharap semua rakyat dapat menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam memilih terbaik dan stabil untuk mentadbir negeri.

Katanya, sekiranya masih tiada parti mendapat majoriti yang cukup, ia dikhuatiri akan membuatkan berulangnya insiden lompat parti seperti yang berlaku sebelum ini.

“Sebab itu pentingnya untuk rakyat keluar mengundi dan membuat pilihan yang tepat agar tidak lagi tersalah pilih kerajaan. Kalau tiada parti yang boleh bentuk kerajaan, mungkin akan berlaku lagi ketidakstabilan dalam kerajaan.

“Jika tiada parti dapat bentuk kerajaan, saya serah kepada pucuk pimpinan parti untuk membuat apa jua keputusan yang perlu,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here