Kerajaan beri respon awal bantu petani, pesawah dan peladang

0
23
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bergambar bersama kepimpinan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) sempena Majlis Makan dan Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan NAFAS ke-47 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (PWTC) di sini, malam ini.

KUALA LUMPUR – Kerajaan memperuntukkan bantuan berjumlah RM262 juta sebagai respons awal bagi membantu peladang yang terjejas susulan kenaikan harga baja dan racun.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, kerajaan menyediakan dana sebanyak RM200 juta sebagai pinjaman dalam sektor agro makanan.

Ismail Sabri berkata, dana pinjaman berkenaan ditetapkan pada kadar faedah sifar disamping moratorium bayaran balik pinjaman selama enam bulan kepada penerimanya.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

“Pinjaman itu untuk kurangkan bebanan kepada usahawan pesawah, petani dan peladang iaitu di bawah Tekun Nasional (TEKUN) dan agro makanan terutama membabitkan tanaman sayuran dan buah-buahan.

“Kita tahu bahan makanan import dari luar negara, harganya bergantung kepada nilai dijual negara luar itu. Oleh itu, kerajaan tidak akan lepas tangan begitu sahaja dalam hal ini.

“Kita tidak akan jawab oleh kerana harga luar tinggi maka tanggunglah sendiri, kita tidak akan kata begitu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Makan dan Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) ke-47 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (PWTC) di sini, malam ini.

Hadir, Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Datuk Seri Dr Ronald Kiandee serta timbalannya, Datuk Seri Ahmad Hamzah dan Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh serta Pengerusi Jemaah Pengarah NAFAS, Datuk Zamri Yaakob.

Pada majlis itu, Ismail Sabri turut menyaksikan majlis menandatangani Memorundum Persefahaman (MoU) antara Nafas dan YaPEIM, Nafas dan syarikat berstatus State Own Enterprise (SOE) dari China serta NAFAS Sialin (M) Sdn Bhd dan Southeast Edible Bird’s Nest Capital Biotechnology Co Ltd.

Perdana Menteri menyaksikan majlis menandatangani Memorundum Persefahaman (MoU) antara Nafas dan YaPEIM.

Menurut Ismail Sabri, selebihnya, kerajaan juga bersetuju memberi peruntukan tambahan sebanyak RM62 juta melalui NAFAS bagi menampung penambahan insentif untuk racun daripada RM200 seperti diumum sebelum ini kepada RM300 sehektar dan permusim.

“Saya sudah meminta Menteri Mafi, Menteri Kewangan (Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz), Menteri KPDNHEP (Datuk Seri Alexander Nanta Linggi) untuk duduk bincang bagaimana kita boleh bantu peladang atau petani yang sedang hadapai bebanan sebab kenaikan harga.

“Sebagai respon awal, bagi membantu pesawah yang terjejas, kerajaan sebelum ini sudah beri insentif untuk racun iaitu RM200 permusim dan perhektar untuk kurangkan beban.

“Maka untuk racun, kerajaan bersetuju menyediakan peruntukan tambahan RM62 juta melalui NAFAS. Dengan itu, mereka akan dapat tambahan RM100 lagi bagi perhektar dan permusim,” katanya.

Mengulas perkembangan berkaitan, Ismail Sabri memaklumkan beliau sudah meminta Menteri Kewangan supaya menambah peruntukan subsidi yang diberikan kepada NAFAS bagi mengelak pertubuhan itu berdepan kerugian.

“Subsidi yang kita bagi dalam bajet untuk baja tidak mencukupi. Sebab saya difahamkan NAFAS akan kerugian sebanyak RM200 juta sebab harga baja meningkat.

“Saya beritahu Menteri Kewangan supaya bantu NAFAS. Untuk perkara ini, Menteri Kewangan akan teliti dan bincang dengan Menteri MAFI untuk tindakan selanjutnya” katanya.

Dalam pada itu katanya, kerajaan juga akan melihat cadangan untuk memberikan bantuan bulanan kepada pesawah bagi tempoh mereka menunggu musim menuai seperti mana bantuan kerajaan kepada penoreh semasa musim tengkujuh.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here