Kerajaan disaran guna teknologi insinerator demi kelestarian alam sekitar

0
48
Masalah longgokan sampah di TPS menyebabkan alam sekitar terjejas teruk

CYBERJAYA – Kerajaan disaran menggunakan teknologi insinerator atau loji ‘waste to energy’ (sisa ke tenaga) bagi menangani isu lambakan sampah yang semakin meruncing di negara ini.

Menurut Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Norshida Ibrahim, lebih membimbangkan apabila kini wujud banyak tempat pembuangan sementara (TPS) sehingga mencemari udara dan air sungai.

Malah, katanya, situasi itu juga menyebabkan kawasan berkenaan menjadi lokasi pembiakan binatang seperti tikus, lalat dan bakteria pembawa penyakit.

“Negara memerlukan teknologi insinerator atau alat pembakaran sampah.Teknologi ini berperanan dengan cara membakar sampah secara optima dan sempurna.

Datuk Norshida Ibrahim

“Insinerator ini telah terbukti keberkesanannya dengan digunakan di kota metropolitan di seluruh dunia tetapi mungkin kerana harganya mencecah jutaan ringgit, ianya tidak menjadi pilihan dalam menyelesaikan isu lambakan sampah negara ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, katanya, dengan jumlah kepadatan penduduk yang semakin tinggi, jumlah sampah yang dihasilkan setiap hari juga semakin bertambah.

Ujarnya, situasi itu menyebabkan kapasiti dan prasarana yang sedia ada sudah tidak mampu lagi menampungnya.

Katanya, pada setiap hari ratusan lori pengangkut sampah bergerak di jalan raya dengan mengeluarkan bau yang memualkan dan kadang-kadang terdapat air sampah yang mengalir di atas jalan raya.

Selain itu katanya, jika isu itu tidak ditangani dengan sebaiknya juga dibimbangi wujudnya golongan yang tidak bertanggungjawab dan penjenayah alam sekitar yang mencari jalan mudah dengan membakar atau membuang sampah ke dalam sungai.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here