Kerajaan perlu ambil langkah proaktif bina semula simpanan persaraan – Wanita UMNO

0
54
GAMBAR HIASAN

CYBERJAYA – Wanita UMNO menyeru supaya kerajaan mengambil langkah proaktif bagi membina semula simpanan persaraan khususnya dalam kalangan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berbangsa Melayu.

Ketua Penerangannya, Datuk Norshida Ibrahim berkata, pihaknya amat prihatin dengan kenyataan yang dibuat oleh Ketua Pegawai Eksekutif KWSP bahawa sebanyak 46 peratus ahli KWSP yang berumur bawah 55 tahun hanya mempunyai simpanan kurang daripada RM10,000, dengan 74 peratus daripada 5.9 juta pencarum itu berbangsa Melayu.

“Tanpa bantuan simpanan KWSP ini dijana semula dengan pantas, orang Melayu tidak mempunyai simpanan yang cukup bagi menyara kehidupan pada penghujung usia dan memaksa mereka bekerja seumur hidup mereka bagiĀ  menampung kos kehidupan yang dijangka meningkat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menambah, pihaknya bersetuju dengan pelbagai inisiatif yang digariskan di bawah Belanjawan 2022, tetapi mengingatkan bahawa kerajaan perlu waspada dengan inisiatif bersifat jangka panjang dimana jika tidak diperhalusi dengan baik kerajaan akan terbeban dengan pembiayaan bilangan warga emas yang lebih ramai pada masa akan datang.

“(Dikhuatiri) kemampuan fiskal kerajaan akan terganggu susulan terpaksa membiayai warga ini yang dikhuatiri akan tergolong sebagai golongan miskin bandar dan jelas akan bertambah menjelang 2030 kerana gagal menyimpan bekalan dana sara hidup sewaktu muda.

“Keputusan kerajaan memperluaskan had umur bagi insentif pelepasan cukai sehingga RM4,000 untuk caruman KWSP secara sukarela khususnya kepada golongan pekerja gig dan sektor tidak formal adalah baik tetapi perlu diperkasakan dan selarasakan penjelasan, kefahaman serta didikan kepada golongan ini,” katanya lagi.

Datuk Norshida Ibrahim

Norshida turut mencadangkan supaya kerajaan menggerakkan jentera penerangan bagi menjelaskan sedalam-dalamnya kepada rakyat tentang kepentingan simpanan bekalan masa depan.

“Kita faham bahawa pemulihan mata pencarian perlu diutamakan demi kelangsungan hidup tetapi jangan kita pula alpa dengan bekalan mereka dan anak-anak mereka di masa depan yang kita tidak tahu apa lagi cabaran yang akan datang,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here