Kes SRC: Keputusan rayuan Najib diputuskan pada 8 Disember

0
30
Datuk Seri Najib Tun Razak

CYBERJAYA – Mahkamah Rayuan hari ini menetapkan keputusan dalam rayuan Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung sabitan dan hukuman terhadapnya bagi kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd (SRC) pada 8 Disember ini.

Menurut Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan dalam satu kenyataan, keputusan itu akan dibuat di Mahkamah Rayuan yang bersidang di Putrajaya.

Keputusan itu akan diberikan oleh panel tiga hakim diketuai Datuk Abdul Karim Abdul Jalil, bersidang bersama-sama Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera.

Pada 8 Disember tersebut, panel terbabit akan membuat keputusan sama ada mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bertarikh 27 Julai 2020 atau membebaskan Najib daripada sabitan salah yang telah dibuat.

Najib memfailkan notis rayuan tersebut pada 30 Julai 2020 selepas tidak berpuas hati dengan keputusan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Mohd. Nazlan Moh. Ghazali dan rayuan tersebut telah didengar selama 15 hari bermula 5 April lalu.

Ketika memfailkan petisyen rayuannya, Najib mengemukakan 307 alasan kenapa beliau tidak patut didapati bersalah dalam kes itu.

Pada 27 Julai 2020, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mensabitkan Najib dengan tujuh pertuduhan membabitkan penyelewengan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Hakim Mohd. Nazlan kemudian menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta yang dikenakan terhadap bekas Presiden UMNO itu.

Hukuman tersebut bagaimanapun dibenarkan untuk digantung sementara menunggu rayuan Najib diputuskan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here