Kita sedang saksikan kebangkitan negeri dari utara-MB Kedah

0
98
Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor bersama Menteri Pembangunan dan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, Ketua Pegawai Eksekutif Hong Seng Consolidated Berhad (dua dari kiri) dan Pengarah Pacific Hemisphere Sdn Bhd (dua dari kanan) pada Majlis Pecah Tanah Projek Nitrile Butadine Latex (NBL) di Zenith Hotel, Putrajaya.

PUTRAJAYA- “Kita sedang menyaksikan kebangkitan sebuah negeri dari utara dalam sektor industri,” kata Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor.

Muhammad Sanusi berkata demikian bagi merujuk kepada pembangunan pesat di Kedah terutamanya melibatkan projek Kedah Rubber City (KRC).

Beliau berkata, segala pembangunan di KRC yang pesat membangun ketika ini bakal menyumbang kepada kemajuan sektor ekonomi termasuk kepada masyarakat.

“Bagi pihak Kerajaan Negeri Kedah, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada pihak Hong Seng Industries Sdn. Bhd. kerana memilih KRC sebagai destinasi pelaburan.

“Saya juga mengucapkan syabas kepada Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) kerana telah berjaya merealisasikan KRC dan menarik pelaburan yang berkualiti. 

“Ini menunjukkan daya saing negeri Kedah dalam menarik pelaburan demi memacu pertumbuhan ekonomi di Kedah khususnya kawasan kurang membangun seperti daerah Padang Terap,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Nitrile Butadine Latex (NBL) di Zenith Hotel, Putrajaya.

Selain itu katanya,  NCIA sedang menyediakan ekosistem yang teguh dan mapan untuk industri getah di wilayah ini, di samping meningkatkan kualiti kelangsungan hidup masyarakat tempatan menerusi limpahan yang dihasilkan oleh peningkatan aktiviti perindustrian di KRC.

“Saya yakin, melalui kerjasama antara Hong Seng Industries dan NCIA, Inshaa-Allah, projek pembangunan seperti ini akan menjadi pemangkin untuk pertumbuhan kawasan ekonomi baharu di Negeri Kedah.

“Maka, bagi pihak Kerajaan Negeri Kedah, kami amat berbesar hati mengalu-alukan penglibatan dan kerjasama pihak swasta dalam pelaburan berimpak tinggi di KRC selaras dengan misi dan visi Kerajaan Negeri Kedah untuk memastikan kemakmuran rakyat.

“Untuk makluman anda, KRC ialah taman perindustrian getah nasional yang akan mempercepatkan pembangunan industri getah negara untuk menjadi hab pengeluaran getah bernilai tinggi di ASEAN.

“Pelaburan sebanyak RM3 bilion oleh Hong Seng Industries dijangka akan menarik pelaburan tambahan sebanyak RM5 bilion melalui industri sokongan dan rantaian nilai industri berkaitan dan ini akan mewujudkan lebih 1600 peluang pekerjaan baharu di Kedah.

“Bagi saya, pembangunan ini bukan sahaja memberi wajah baharu kepada landskap perindustrian sedia ada di negeri Kedah, malah akan menjana peluang pekerjaan berkemahiran dan berpendapatan tinggi kepada rakyat negeri ini,” katanya.

Dalam pada itu katanya, universiti-universiti tempatan di NCER juga berpeluang untuk bekerjasama dengan pemain industri dalam bidang R&D dan penerokaan teknologi baharu khususnya dalam bidang bahan kimia termaju.

“Saya amat optimistik bahawa projek pembangunan berimpak tinggi strategik yang dilaksanakan oleh NCIA ini akan dapat menarik pelabur dari dalam dan luar negara berdasarkan potensi pelaburan jangka panjang dan membawa banyak manfaat kepada ekonomi tempatan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here