KKM beri amaran varian Omicron semakin menghampiri

0
90
Dr Noor Azmi Ghazali

KUALA LUMPUR – Varian terbaharu Covid-19 iaitu Omicron yang dipercayai jauh lebih berbahaya daripada varian Delta yang mula dikesan di Afrika Selatan kini sudah ditemui di Hong Kong.

Justeru, Kementerian Kesihatan menasihatkan orang ramai supaya terus kekal mengamalkan Prosedur Operasi Standard (SOP) dan mengambil langkah lebih berwaspada agar varian itu tidak merebak ke negara ini.

Timbalan Menteri Kesihatan I, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, ekoran kelonggaran yang telah diberikan kerajaan, penduduk negara ini perlu patuh dan tidak mengabaikan norma-norma yang diamalkan untuk mencegah virus itu.

“Langkah pencegahan ini perlu untuk mengelak penularan yang lebih serius.

“Dengan penemuan varian baharu ini di Afrika Selatan dan Hong Kong, ia sudah semakin menghampiri negara ini,” katanya dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Selain katanya, kerajaan akan mengambil langkah lebih drastik dengan mengetatkan kawalan di mana tidak membenarkan rakyat-rakyat dari negara-negara terlibat untuk memasuki negara ini.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), baru-baru ini mengumumkan varian Omicron iaitu B.1.1.529 sebagai varian membimbangkan (VOC).

Omicron dikategorikan sebagai varian paling berbahaya termasuk dalam kategori varian Delta, Alpha, Beta dan Gamma.

Dalam pada itu, Dr. Noor Azmi menyeru orang ramai supaya mengambil dos penggalak vaksin Covid-19 sebagai usaha melindungi diri daripada ancaman virus berkenaan.

“Omicron ini dikatakan satu varian yang mungkin lebih bahaya daripada Delta dan mempunyai 32 mutasi protein berbanding Delta yang mempunyai hanya 9 mutasi protein.

“WHO telah menamakan dia Omicron B11529 ini dan telah menjadikan dia salah satu daripada VOC, jadi kita tidka tahu sejauh mana teruk varian ini boleh pergi. Kita tidak tahu sejauh mana vaksin boleh menangkis varian ini dan kita tidak tahu ubat yang ada sekarang dapat merawat penyakit ini.

“Walaupun kita sudah berada di Fasa 4 PPN dan bebas bergerak dan mengadakan aktiviti sosial dan ekonomi, rakyat mesti sama-sama menyedari perkara ini supaya kita dapat menghindari daripada kena Covid-19 lagi sekali dan merupakan yang lebih serius,” katanya lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here