KKM pantau hospital berikutan peningkatan kadar R-naught

0
15
KHAIRY JAMALUDIN

CYBERJAYA – Pihak Kementerian Kesihatan (KKM) sedang memantau situasi semua hospital di seluruh negara susulan indikator kadar kebolehjangkitan Covod-19 (R-naught) Malaysia meningkat kepada 1.0

Dalam satu ciapannya semalam, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar turut menggesa individu yang telah diberi temu janji dos penggalak Covid-19, supaya mengambil dos berkenaan.

“Warga emas, jika boleh, perlu mengelakkan tempat yang sesak. Amalkan #TRIIS (lakukan uji, lapor, asingkan, maklumkan, dapatkan rawatan segera),” ciap beliau.

Nilai R-naught merujuk kepada tahap keberjangkitan kes Сovid-19, iaitu berapa banyak kes yang boleh dijangkiti oleh satu kes positif.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah dalam catatan di akaun Twitter miliknya menyifatkan peningkatan semula kadar kebolehjangkitan bermakna kes harian semakin mendatar.

“Kebimbangan kita (Kementerian Kesihatan) adalah jika ia (kes harian) kembali meningkat,” katanya.

Dr Noor Hisham turut menggesa orang ramai supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan kumpulan rentan dinasihatkan supaya mendapatkan segera dos penggalak apabila janji temu diberi.

Beliau turut melahirkan kebimbangan dengan peningkatan kes positif Covid-19 negara selama empat hari berturut-turut apabila sebanyak 6,323 kes baharu Covid-19 dicatatkan semalam.

Sebelum ini, kes harian Covid-19 di Malaysia menunjukkan trend penurunan dengan 4,343 kes baharu dicatat pada Ahad sebelum ia meningkat semula mulai Isnin sehinggga semalam.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here