Kos tunai haji dimuktamad Kabinet tidak lama lagi

0
4
Idris Ahmad

PUTRAJAYA – Kos menunaikan ibadah haji untuk musim 1443H/2022 akan dimuktamadkan selepas dibentangkan dalam mesyuarat Kabinet, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad.

Beliau berkata, pihak Tabung Haji yang baru kembali dari Arab Saudi akan memberi taklimat kepadanya berkaitan kos mengerjakan haji dalam masa terdekat.

“Naik atau tidak, tunggu keputusan yang akan diputuskan oleh Kabinet,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian sumbangan Kedutaan China di Malaysia kepada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) Food Bank di sini hari ini.

Idris sebelum ini dilaporkan berkata kos mengerjakan ibadah haji dijangka meningkat berikutan perkembangan terkini berkaitan prosedur operasi standard (SOP) dan protokol kesihatan ketat yang dikuatkuasakan kerajaan Arab Saudi bagi membendung penularan COVID-19 dalam kalangan jemaah haji.

Idris juga berkata Tabung Haji sedang menyemak dengan terperinci kos yang terkesan akibat kadar inflasi serta peraturan dan cukai baharu di Arab Saudi termasuk caj visa haji yang diperkenalkan pada musim haji 1441H/2020, selain kenaikan kadar cukai nilai tambah (VAT) di Arab Saudi daripada lima peratus kepada 15 peratus bermula Julai tahun lepas.

Menurut laporan media pada Mac lepas, kos mengerjakan haji tahun ini meningkat kira-kira sembilan peratus kepada sekurang-kurangnya RM25,000 bagi seorang jemaah haji berbanding RM22,900 pada 2019 dan 2020.

Ketika ini, bayaran yang perlu ditanggung jemaah haji negara adalah RM9,980 dan tidak pernah berubah sejak 2009, manakala baki RM12,920 ditanggung Tabung Haji.

Mengenai JAWI Food Bank, Idris berkata hari ini merupakan sumbangan ketiga oleh Kedutaan China di Malaysia untuk kegunaan membantu rakyat Malaysia yang terkesan akibat pandemik COVID-19, menjadikan jumlah yang telah diterima daripada kedutaaan tersebut bernilai RM400,000.

“Sumbangan hari ini membuktikan hubungan dua hala antara Malaysia dan China kekal erat,”  katanya yang menyaksikan penyampaian sumbangan tersebut oleh Duta Besar China ke Malaysia Ouyang Yujing kepada Pengarah JAWI Datuk Mohd Ajib Ismail.

Idris berkata JAWI Food Bank telah menyalurkan sumbangan pek makanan kepada 270,000 penerima di sekitar Wilayah Persekutuan Putrajaya, Kuala Lumpur dan Labuan.

Sementara itu, Ouyang berkata wabak COVID-19 di Malaysia dilihat semakin terkawal namun pihaknya memahami sebahagian rakyat Malaysia terkesan akibat pandemik itu dan amat memerlukan bantuan.

“Kami amat terharu melihat kawan-kawan dari JAWI bertungkus-lumus menyalurkan sumbangan bantuan barangan kepada golongan memerlukan. Kami berharap usaha (sumbangan) ini dapat membantu mengurangkan beban mereka,” katanya. -BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here