KPI Menteri MOSTI capai 100 peratus sebelum cukup tempoh 100 hari

0
33
Datuk Seri Dr Adham Baba bergambar bersama media dalam Majlis Media Engagement bersama Ketua–Ketua Pengarang di Hotel Everly di sini hari ini.

PUTRAJAYA – Meskipun berbaki dua minggu lagi sebelum cukup tempoh 100 hari, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Adham Baba telah berjaya mencapai 100 peratus untuk petunjuk prestasi utama (KPI) di kementerian itu.

Dr Adham berkata, dalam tempoh tersebut
sebanyak 33 inisiatif telah ditetapkan untuk dipenuhi bermula 1 September sehingga 9 Disember ini.

“Semalam, saya telah bertemu dengan Perdana Menteri pada sesi Report Card Day dan tiga petunjuk prestasi utama (KPI) saya sebagai Menteri MOSTI telah dibentangkan iaitu Pelan Hala Tuju Pembangunan Vaksin Negara (PPVN) serta Institut Genom dan Vaksin Negara (MGVI);
Pembangunan Ekosistem Industri Pemula Start-up yang Komprehensif dan Penginovasian Sistem Penyampaian Kerajaan (MyHackathon).

“Sukacita saya kongsikan ketiga-tiga KPI utama saya selaku Menteri MOSTI telah mencapai 100% peratus. Semua ini tidak akan berlaku tanpa kerjasama semua pihak termasuk warga kerja kementerian dan juga bantuan media yang memberi liputan hampir setiap hari,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Media Engagement bersama Ketua–Ketua Pengarang di Hotel Everly di sini hari ini.

Dr Adham dilantik sebagai Menteri MOSTI selepas Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilantik sebagai Perdana Menteri menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Dalam pada itu, katanya, MOSTI akan terus komited untuk memastikan Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTI) 2021-2030 dan Rangka Kerja 10-10 MySTIE dapat memberi galakan kepada Keluarga Malaysia dalam memastikan idea-idea berkaitan sains, teknologi dan inovasi dapat diperkasakan dan dikomersialkan.

Katanya, bagi tahun hadapan, pihaknya akan terus menumpukan usaha kepada inisiatif jangka pendek yang mampu memberi impak yang besar seperti penubuhan The Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI), sistem simpanan tenaga melalui Program NanoMalaysia Energy Storage Technology Initiative (NESTI) dan penghasilan vaksin melalui penubuhan Institut Genom dan Vaksin Malaysia.

“Dalam usaha membangunkan ekosistem start-up pula, di bawah MOSTI terdapat agensi-agensi pembiaya antaranya CRADLE, MAVCAP, MTDC, MDV, DAN KMP.

“MOSTI berharap tawaran pembiayaan daripada agensi-agensi pembiaya di bawah MOSTI ini dapat dipromosikan oleh media agar syarikat-syarikat teknologi khususnya maklum tentang bentuk sokongan yang diberikan oleh MOSTI ini,” katanya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here