KWSP perkenal i-Sayang pada suku pertama 2022

0
298

EPF
KWSP

KUALA LUMPUR – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan melancarkan kemudahan i-Sayang pada suku pertama tahun hadapan.

Pengerusinya, Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir berkata, ia sebagai sebahagian daripada usaha berterusan KWSP untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Ahmad Badri berkata, kemudahan itu akan membolehkan pemindahan sukarela dua peratus caruman KWSP daripada akaun suami ke akaun isteri.

“Satu lagi kemudahan dana persaraan yang akan dilancarkan ialah i-Lindung, yang membenarkan pengeluaran daripada Akaun 2 untuk membeli insurans hayat dan penyakit kritikal melalui platform KWSP.

“Inisiatif lain yang kami tinjau termasuk pendekatan berperingkat ke arah mewajibkan perlindungan KWSP yang sah kepada pekerja sektor tidak formal bukan pertanian.

“Kami juga akan menyokong skim caruman lebihan sukarela yang mana ahli boleh memaksa majikan meningkatkan caruman KWSP mereka kepada lebih daripada 11 peratus kadar berkanun,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Persidangan Kesejahteraan Sosial Antarabangsa (ISWC) 2021 yang diadakan secara maya dan fizikal hari ini.

Persidangan selama dua hari itu dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Mengenai persidangan itu, Ahmad Badri berkata, ISWC tahun ini bertujuan untuk mengetengahkan pelbagai aspek isu ketaksamaan global.

“Bersama-sama, kami percaya rangka kerja perlindungan sosial lebih baik boleh membantu kami dalam meminimumkan, jika tidak membasmi, kesan negatifnya kepada manusia,” kata beliau.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here