Larangan penjualan arak: Kita masih belum ‘menang’

0
45
Aminuddin Yahya

CYBERJAYA – Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela) menyeru umat Islam di negara ini untuk terus menentang penjualan arak secara terbuka di negara ini dan menyokong pengharaman sepenuhnya minuman berkenaan.

Pengerusi Pembela, Aminuddin Yahya berkata, walaupun peraturan penjualan arak (liqour) di kedai runcit, serbaneka dan kedai ubat telah diumumkan, seccara praktikalnya penjualan masih dibenarkan pada siang hari.

Justeru katanya, keputusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur mengenai perkara itu bukanlah sesuatu yang diharapkan.

“Walaupun tidak sepenuhnya dilaksanakan (larangan), tetap ada pihak yang kepanasan seolah-olah mereka yang paling tertindas.

“Pemimpin-pemimpin MCA dan DAP senada mengecam dengan keras keputusan menteri bagi melarang penjualan arak secara terbuka itu selepas persatuan-persatuan peniaga yang menjual arak menyatakan bantahan.

“Alangkah baiknya jika kita semua, iaitu NGO-NGO Islam, ahli-ahli politik kerajaan dan pembangkang muslim berpadu menyatakan tuntutan kita juga,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Larangan penjualan arak (liqour) di kedai runcit, serbaneka dan kedai uubat Cina yang diumumkan oleh Menteri Wilayah Persekutuan yang lalu, Datuk Seri Annuar Musa diumumkan oleh DBKL baru-baru ini.

Peraturan baharu itu bagaimanapun masih membenarkan penjualan arak (liqour) di premis tersebut dari pukul 7 pagi hingga 9 malam, sebagaimana terkandung dalam syarat baharu untuk permohonan Lesen Minuman Keras (LMK).

Aminuddin menambah, masyarakat negara ini khususnya umat Islam perlu bangkit membantah penjualan minuman keras di kedai-kedai runcit kepada pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Kita melalui NGO-NGO kita juga telah banyak gerakkan inisiatif di kawasan-kawasan kami dan terbukti berjaya.

“Bayangkan jika ianya digerakkan di peringkat nasional secara berpadu, dan di peringkat polisi. Pastinya lebih menyeluruh impaknya.

“Jika mereka bersatu mahu arak dijual secara terbuka, mengapa kita tidak mampu bersatu mendesak kehendak kita pula? Ayuh,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here