Lebih 300 pelajar Brainy Bunch teruja kembali ke sekolah hari ini

0
30
Pelajar Brainy Bunch mengikut sesi pembelajaran secara bersemuka di bilik darjah.

CYBERJAYA – Kira-kira 300 pelajar Lower dan Upper Elemantary serta Sekolah Antarabangsa hadir pada hari pertama pembukaan semula sesi persekolahan di kampus utama Brainy Bunch di sini hari ini.

Peluang kembali semula ke sekolah selepas lebih 5 bulan ‘terkurung’ di rumah itu ternyata mengujakan para pelajar untuk memulakan pembelajaran secara bersemuka dan bertemu rakan dan guru.

Bagi ibu bapa pula, sesi persekolahan secara fizikal itu sekaligus meredakan kerisauan terutama dalam kalangan yang mempunyai anak yang bakal menduduki peperiksaan utama tahun ini.

Ketua Pegawai Operasi Brainy Bunch, Noriha Mohd Zain berkata, pihak pengurusan sekolah mengucapkan selamat datang kepada semua pelajar yang hadir pada hari ini dan akan memastikan amalan prosedur operasi standard (SOP) dipenuhi sepenuhnya oleh guru dan murid.

Beliau berkata, Brainy Bunch beroperasi pada kapasiti kira-kira 50 peratus daripada keseluruhan pelajar berjumlah 740 pelajar hari ini bagi mematuhi arahan pergiliran oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

“Alhamdulillah, kami berpuas hati daripada pemantauan dan pematuhan SOP oleh pelajar dan ibu bapa.

“Selain SOP biasa, pihak sekolah juga mewajibkan ibu bapa melakukan ujian saringan saliva kepada anak-anak mereka pada setiap hari Ahad setiap minggu.

“Ini sebahagian daripada tanggungjawab pihak kami untuk memastikan persekitaran sekolah berada dalam keadaan selamat untuk semua,” katanya.

Sekitar di dalam kelas pada hari pertama di kampus utama Brainy Bunch, Cyberjaya di sini.

Kementerian Pendidikan Malaysia baru-baru ini mengumumkan tarikh pembukaan sekolah bagi negeri-negeri dalam Fasa 2 dan Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Sementara itu katanya, dalam sesi pergiliran itu, sebahagian lagi pelajar institusi montessori Islam itu akan mengikuti pembelajaran secara dalam talian dari rumah.

“Pengurangan jumlah pelajar di sekolah ini diharap akan dapat mengurangkan risiko Covid-19 di sekolah,” katanya.

Noriha Mohd Zain

Sehubungan itu, Noriha menasihatkan ibu bapa supaya bersama-sama mengambil tanggungjawab untuk memastikan hanya anak-anak yang sihat sahaja dihantar ke sekolah.

“Melalui ujian saliva pada setiap malam Ahad, kita harap ibu bapa dapat memaklumkan pihak sekolah sekiranya ada dalam kalangan anak-anak yang tidak sihat.

“Perkara yang paling penting dalam keadaan sekarang adalah ibu bapa perlu mempunyai sikap bertanggungjawab kepada anak dan pelajar lain,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here