Lelaki baling batu dari jambatan diberkas polis

0
547
Suspek ditahan polis selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan

ALOR STAR – Polis berjaya menahan seorang lelaki yang tular selepas melakukan perbuatan khianat dengan membaling batu dari atas jambatan Bandar Darulaman, KM.31 Lebuhraya Utara Selatan, Kedah, semalam.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Supt Rodzi Abu Hassan berkata, suspek berjaya dikesan selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, ia berikutan tindakan suspek yang telah memberhentikan motosikalnya di atas jejantas lebuhraya dari Jalan Wang Tepus menghala ke Bandar Darulaman, Jitra.

“Bertindak atas maklumat dan risikan yang dijalankan pihak polis telah menubuhkan satu pasukan Taskforce dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu bersama dari Cawangan Pencegah Jenayah (CPJ) Balai Polis Jitra.

“Pada jam lebih kurang 1.45 petang semasa operasi sedang di jalankan telah melihat penunggang motosikal seorang lelaki Melayu dalam keadaan mencurigakan menaiki motosikal jenis Honda Wave S warna biru nombor pendaftran KCB 2870.

“Lelaki itu memberhentikan motosikal di atas jejantas lebuhraya dari jalan Wang Tepus menghala ke Bandar Darulaman Jitra. Semasa pemerhatian di buat dapati penunggang motosikal tersebut telah turun dari motosikal dan telah mengambil sesuatu dari dalam raga motosikal yang di naiki oleh suspek,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan terhadap lelaki itu mendapati terdapat dua ketulan batu di dalam raga motosikal yang dinaikinya.

Katanya, hasil siasatan mendapati suspek mangaku telah terlibat dalam kejadian membaling batu dari atas jambatan lebuh raya.

Sementara itu, katanya, pemeriksaan lanjut juga mendapati suspek mempunyai tujuh rekod lampau berkaitan kes jenayah dan kes dadah.

“Hasil ujian air kencing terhadap suspek juga dapati suspek positif dadah jenis “Methamphetamine”.

“Tangkapan dan rampasan barang kes telah dilakukan dan suspek akan dibawa ke mahkamah untuk permohonan reman dan kes disiasat di bawah seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat,” ujarnya.

Baru-baru ini tular rakaman video daripada seorang pengguna jalan raya selepas kenderaan yang dipandunya dibaling beberapa ketul batu dari sebuah jambatan.

Akibat perbuatan khianat itu meyebabkan berlaku kerosakan pada bahagian hadapan kenderaan tersebut.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here