MAFI lancar dana RM60 juta untuk usahawan agro-makanan negara

0
35
Majlis Mempromosikan Dana Modenisasi Rantaian Nilai, Pemodenan Vesel Dan Mekanisasi Tangkapan yang dirasmikan oleh Dr. Ronald Kiandee di Dewan Tan Sri Abu Zahar, Menara Pertubuhan Peladang (LPP) di sini semalam.

KUALA LUMPUR -Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) melalui Agrobank melancarkan Majlis Mempromosikan Dana Modenisasi Rantaian Nilai, Pemodenan Vesel Dan Mekanisasi Tangkapan di Dewan Tan Sri Abu Zahar, Menara Pertubuhan Peladang (LPP) di sini semalam.

Program itu bertujuan memudahkan akses pembiayaan usahawa di seluruh rantaian agromakanan dari peringkat huluan hingga hiliran dengan menawarkan kadar pembiayaan menarik dan berisiko rendah.

Majlis dirasmikan oleh Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee yang turut dihadiri Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Datuk Che Abdullah Mat Nawi dan Pengerusi Agrobank, Datuk Mustapha Buang.

Ronald berkata, melalui Dana Modenisasi Rantaian Nilai Agromakanan berjumlah RM60 juta itu, usahawan berpeluang mendapatkan perolehan peralatan dan teknologi berteraskan Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) sehingga RM1 juta pada kadar 3.5 peratus setahun bagi tempoh sehingga 10 tahun.

“Antara teknologi berteraskan 4IR yang menjadi fokus dalam sektor agromakanan adalah teknologi sensor, robotik, dron, blockchain dan lain-lain teknologi yang merupakan elemen bagi konsep pertanian pintar.

“Pada masa yang sama, MAFI juga memperuntukkan sebanyak RM150 juta bagi kemudahan pembiayaan di bawah Program Pemodenan Vesel dan Mekanisasi Tangkapan bagi Vesel Zon A, Zon B serta telah diperluaskan kepada Zon C dan Zon C2,” katanya.

Ronald berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak RM104.5 juta diperuntukkan di bawah skop Pemodenan Vesel manakala RM45.5 juta lagi diperuntukkan di bawah skop Mekanisasi Tangkapan dengan kemudahan pembiayaan pada kadar di antara 3.0 sehingga 3.5 peratus bagi tempoh maksimum 10 tahun.

Katanya, program itu bertujuan membuka peluang kepada nelayan tempatan menaik taraf dan memodenkan vesel dari aspek keselamatan dan peningkatan hasil tangkapan.

“Dengan adanya vesel moden yang selesa dan selamat, golongan belia lebih berminat untuk menceburkan diri dalam sektor perikanan tangkapan seterusnya mengurangkan kebergantungan negara terhadap tenaga kerja asing,” katanya.

Ronald berkata, inisiatif itu juga seiring dengan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) yang mengiktiraf sektor pertanian pintar sebagai aktiviti strategik dan berimpak tinggi yang menjana pertumbuhan ekonomi negara.

“Sektor ini mencatat pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebanyak 2.3% pada tahun 2020. Manakala sumbangan agromakanan kepada KDNK pertanian juga meningkat daripada RM44.2 bilion pada tahun 2015 kepada RM51.3 bilion pada tahun 2020.

“Dalam tempoh RMKe-12, usaha akan ditumpukan kepada mempercepatkan penerimagunaan teknologi moden dalam sektor agromakanan khususnya tanaman, ternakan dan perikanan,” jelas Dr. Ronald.

Dalam pada itu, Ketua Setiausaha MAFI, Datuk Haslina binti Abdul Hamid berkata, pihaknya giat menggalakkan pemodenan sektor pertanian negara melalui penggunaan teknologi moden bagi meningkatkan hasil pertanian yang berkualiti tinggi.

Penanggung Tugas Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Khadijah Iskandar pula berkata,

pihaknya menyokong usaha MAFI dalam menjamin kelestarian sektor agromakanan khususnya melalui penggunaan teknologi berteraskan 4IR.

“Agrobank merupakan salah satu agensi pelaksana dalam merealisasikan hasrat kerajaan untuk merapatkan jurang pendigitalan di antara usahawan di bandar dan di luar bandar. Teknologi adalah penting bagi meningkatkan produktiviti sektor agromakanan.

“Oleh itu menerusi dana-dana ini, Agrobank yakin lebih ramai usahawan agromakanan yang akan mendapat manfaat menerusi program ini, sekali gus membantu meningkatkan taraf sosio-ekonomi usahawan dan komuniti setempat,” jelas beliau.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here