Mahkamah putuskan DNAA terhadap enam penghantar makanan Foodpanda

0
1121
Barisan peguam bersama penghantar makanan Foodpanda yang dituduh merusuh pada Mei tahun lalu di Mahkamah Majistret Petaling Jaya hari ini.

PETALING JAYA – Mahkamah Majistret Petaling Jaya  hari ini melepas tanpa membebaskannya (DNAA) enam penghantar makanan Foodpanda yang dituduh merusuh pada Mei tahun lalu.

Peguam kepada enam penghantar makanan Foodpanda itu, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, perintah DNAA dikeluarkan kepada kesemua orang kena tuduh (OKT).

“Alhamdulillah, (dalam) kes rider foodpanda tadi, Mahkamah Majistret PJ perintahkan DNAA kepada semua OKT,” katanya dalam hantaran di laman Facebooknya hari ini.

Mengikut pertuduhan, kesemua enam penghantar makanan itu melakukan rusuhan di Restoran Dong Ding, Jalan Puteri 7/ 13A, Bandar Puteri, Puchong, pada jam 6.20 petang pada 18 Mei lalu.

Keenam-enam penghantar makanan terbabit ialah Muhammad Hafiz Yusnan, 21, Muhamad Izzat Abd Bari, 22, Mohd Syukri Achyar, 39, Wan Hafizie Wan Hanapi, 29, Jaya Kantha Kumaran Sivarathinam, 31 dan Amirul Zahari Zailani, 25.

Kesemua mereka dituduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Pembela Islam (Pembela), Aminuddin Yahaya mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada barisan pasukan peguam yang Zainul Rijal yang bertungkus lumus berjuang dalam kes itu secara percuma.

“Alhamdulillah, terima kasih yang tidak terhingga kepada barisan pasukan peguam diketuai oleh Zainul Rijal (Timbalan Pengerusi PEMBELA) dan Hisham Marzuki (Timbalan Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia) yang bertungkus lumus berjuang dalam kes ini secara percuma

“Terima kasih juga kepada rakan-rakan NGO dalam rangkaian PEMBELA yang memberikan sokongan moral padu kepada tertuduh dan para peguam yang akhirnya menarik perhatian rakyat Malaysia untuk sama-sama bersuara.

“Terima kasih individu-individu yang berhati mulia yang telah menghulurkan segala bentuk bantuan yang sangat berharga buat adik-adik ‘rider’ ini, sehingga ke akhir kes,” katanya.

Dalam pada itu, Aminuddin turut mengucapkan terima kasih kepada pihak polis, terutamanya Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD)  Petaling Jaya atas layanan, kerjasama dan komunikasi yang baik sepanjang kes berlangsung.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here