Malaysia, negara ASEAN Campur Tiga rangka pelan bantu usahawan luar bandar pasca Covid-19

0
12
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid menyampaikan ucapan sempena Forum Pemerkasaan Perusahaan Luar Bandar Mikro, Kecil dan Sederhana Peringkat ASEAN.

CYBERJAYA – Seramai 100 peserta yang terdiri daripada pegawai kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan dan usahawan luar bandar dari negara ASEAN Campur Tiga menghadiri Forum Pemerkasaan Perusahaan Luar Bandar Mikro, Kecil dan Sederhana Peringkat ASEAN yang berlangsung secara atas talian hari ini.

Menurut Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dalam satu kenyataan, forum itu yang dianjurkan melalui Institut Kemajuan Desa dirasmikan oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

“Forum ini merupakan salah satu daripada komitmen Malaysia dalam Kerangka Pelan Tindakan ASEAN dalam Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan 2021 hingga 2025.

“Ia bertujuan untuk berkongsi amalan terbaik dan bertukar pandangan di kalangan negara ASEAN dan ASEAN Campur Tiga mengenai isu dan cabaran yang dihadapi oleh perusahaan mikro, kecil dan sederhana luar bandar semasa pendemik Covid-19 serta membincangkan hala tuju dan tindakan yang boleh diambil untuk meningkatkan daya tahan dan daya saing perusahaan luar bandar pasca Covid-19,” katanya.

Dalam pada itu, menurutnya, antara topik yang dibincangkan adalah cabaran usahawan luar bandar pasca Covid-19, pembudayaan aktiviti keusahawaan luar bandar bagi peningkatan ekonomi luar bandar, adaptasi ekonomi digital dalam keusahawanan luar bandar ke arah pembangunan inklusif dan pemulihan dan peningkatan daya tahan usahawan luar bandar pasca Covid-19.

Selain itu, katanya, beberapa usahawan luar bandar turut berkongsi pengalaman mendepani cabaran Covid-19 dan langkah pemulihan yang diambil untuk meneruskan perniagaan.

“Hasil daripada forum ini boleh digunakan oleh negara-negara ASEAN untuk merangka pelan pembangunan usahawan luar bandar di negara masing-masing terutamanya yang berkaitan dengan teknologi digital,” ujarnya.

Sementara itu, Mahdzir dalam ucapannya berkata, aktiviti keusahawanan luar bandar
merupakan salah satu aktiviti utama yang dapat membantu membangunkan kawasan luar bandar.

Katanya, melalui aktiviti itu ia mampu meningkatkan kualiti kehidupan bagi invidividu, keluarga dan komuniti di luar bandar.

Pada masa sama, beliau turut memberi penekanan terhadap kepentingan untuk meningkatkan penggunaan internet dan teknologi digital untuk memastikan kelestarian dan ketahanan usahawan luar bandar dalam era pemulihan pasca Covid-19.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here