Mangsa kemalangan rampas beg tangan wanita ditahan polis

0
574
Tangkap layar seorang lelaki merampas beg tangan wanita yang melanggar keretanya semalam

SHAH ALAM – Polis menahan seorang lelaki yang dipercayai merampas beg tangan wanita yang melanggar keretanya di Kilometer 14.6 Lebuh Raya Persekutuan di sini, semalam bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, siasatan pihaknya mendapati kemalangan melibatkan tiga kenderaan itu berlaku di lebuh raya dari arah Klang menuju Kuala Lumpur.

Katanya, kejadian berlaku apabila sebuah kereta BMW dipandu seorang wanita dikatakan terlanggar bahagian belakang kereta lelaki tersebut.

“Pelanggaran itu kemudian menyebabkan kereta Proton Gen 2 lelaki berkenaan kemudian melanggar sebuah Honda HRV di hadapannya.

“Tiada sebarang kecederaan dilaporkan. dan kes disiasat mengikut Rule 10 LN 166/59,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Menerusi video berdurasi satu minit 30 saat itu, lelaki berkenaan kemudian merampas beg tangan dan memasuki keretanya dipercayai untuk membuat laporan polis berhubung kemalangan tersebut.

Jelas beliau, pihaknya turut membuka kertas siasatan berhubung tindakan pemandu lelaki yang dikatakan merampas beg tangan pemandu BMW tersebut.

“Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 379 atau 323 Kanun Keseksaan,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat menghubungi Penolong Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, Sarjan Hafizi Hashim di talian 013-9557042 bagi membantu siasatan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here