MaraCorp lancar projek pembangunan kondominium Signal Hill di Kota Kinabalu

0
15

Mahdzir Khalid mendengar penerangan mengenai projek kondominium Signal Hill di Kota Kinabalu, Sabah.

KOTA KINABALU – MARA Corporation Sdn Bhd (Mara Corp) melalui anak syarikatnya MARA Incorporated Sdn Bhd (Mara Inc) merancakkan industri pembinaan di Sabah menerusi projek pembangunan kondominium Signal Hill.

Menurut Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, projek tersebut dijangka menyediakan lebih 2,000 peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.

“Bukan itu sahaja, projek ini turut akan memberi peluang kepada syarikat kontraktor binaan, perunding projek dan syarikat pemasaran hartanah serta memberi peluang kepada golongan peniaga bumiputera yang terkesan ekoran penularan wabak Covid-19,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pecah Tanah Projek Pembangunan Kondominium Signal Hill yang disempurnakan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi MARA, Datuk Seri Panglima Azizah Mohd Dun, Ketua Setiausaha KPLB, Datuk Ramlan Harun dan Ketua Pengarah MARA, Datuk Azhar Abdul Manaf.

Menurut Mahdzir, projek itu dijangka merancakkan semula ekonomi dan industri pembinaan tempatan terutama dalam fasa pemulihan akibat pandemik.

Katanya, projek pembangunan kondominium tersebut menawarkan 441 unit kediaman dengan gaya hidup moden yang menitikberatkan aspek keselamatan penghuninya.

“Pembinaan projek dengan kos RM500 juta itu akan bermula pada pertengahan tahun hadapan dan dijangka siap dalam masa tiga tahun.

“Ia turut mempunyai 14 unit lot kedai berkeluasan hampir 20,000 kaki persegi,” katanya.

Tambah beliau, kondominium Signal Hill turut mensasarkan pemilikan oleh warga asing menerusi Program Malaysia My Second Home (MM2H) yang bakal membawa manfaat ekonomi kepada Sabah.

“Menerusi usaha sama pembangunan projek ini, MARA Inc. telah mengorak satu langkah lagi iaitu memperkasakan perkembangan syarikat dalam sektor pembinaan dan hartanah di negeri Sabah dan meningkatkan pengetahuan serta pengalaman dalam aspek pembangunan projek hartanah premium,” ujar Mahdzir.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here