Masalah usahawan PMKS akan dibawa ke Kabinet

0
18
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) Tan Sri Noh Omar

KUALA LUMPUR – Masalah yang dihadapi oleh usahawan, terutama perusahaan mikro kecil dan sederhana (PMKS) akan dibawa ke peringkat Kabinet bagi dibincangkan bersama.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) Tan Sri Noh Omar berkata, ia bagi membolehkan masalah usahawan PMKS dapat didengar oleh kementerian yang berkaitan.

“Walaupun MEDAC dipertanggungjawabkan dalam menjaga kepentingan usahawan PMKS, masih terdapat banyak isu yang dihadapi membabitkan pelbagai kementerian lain.

“Jadi kita akan buat Nota Kabinet, MEDAC akan bawa isu dan permasalahan usahawan PMKS bagi tindakan lanjut kementerian dan agensi lain yang berkaitan. Kita mahukan pemulihan yang berkesan,” katanya selepas mengadakan dialog bersama 59 dewan perniagaan dan persatuan PKS di sini, hari ini.

Menurut Noh, MEDAC sentiasa berusaha membantu usahawan PMKS untuk kembali pulih selepas berdepan dengan impak disebabkan pandemik Covid-19.

Mengulas mengenai sesi dialog hari ini, Noh berkata, ia merupakan salah satu inisiatif mendalami cabaran yang dihadapi usahawan ketika ini, selain kesinambungan selepas menjalankan libat urus bersama dengan dewan perniagaan dan persatuan usahawan serta PMKS.

“Melalui libat urus itu, 34 memorandum dikemukakan mengandungi 42 isu berkaitan keusahawan yang dibahagikan kepada lapan kluster utama membabitkan pelbagai kementerian dan agensi.

“Isu mengenai dasar dan adaptasi digital, percukaian dan levi, kekurangan pekerja asing serta moratorium pembayaran adalah antara cabaran utama usahawan. Sesi dialog ini membolehkan kerajaan mendapat maklum balas yang tepat, sekali gus membolehkan tindakan dan penambahbaikan dilaksanakan dengan lebih baik,” katanya.

Dalam pada itu, Noh berharap sesi dialog berkenaan dapat dijadikan sebagai acara tahunan bagi memastikan dasar dan inisiatif kerajaan sentiasa menepati keperluan usahawan, seterusnya menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here