Menara Merdeka 118 satu pencapaian hebat Malaysia

0
52
Perdana Menteri ketika menyampaikan ucapannya pada majlis pemasangan puncak menara Merdeka 118, hari ini. – facebook/Fadillah Yusof

KUALA LUMPUR – Penyempurnaan puncak menara Merdeka 118 hari ini meletakkan menara itu sebagai menara kedua tertinggi di dunia selepas Burj Khalifa.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri berkata, beliau amat berbangga dengan pencapaian itu kerana puncak menara ini dapat disempurnakan walaupun ketika negara berhadapan dengan pandemik Covid-19.

“Ini bukan sahaja satu pencapaian yang hebat dalam bidang kejuruteraan, malah mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai negara yang moden dan maju,” kata Ismail Sabri ketika merasmikan majlis pemasangan puncak menara Merdeka 118, di sini hari ini.

Perdana Menteri memasang replika puncak Menara Merdeka 118 pada majlis, hari ini. – facebook/Tengku Zafrul

“Saya juga difahamkan, Merdeka 118 akan menjadi menara pertama di Malaysia mencapai tiga penarafan platinum hijau dalam persijilan kelestarian antarabangsa serta persijilan WELL yang berprestij.

“Ini menjadikan Merdeka 118 menjadi penanda aras industri di Malaysia sebagai menara ikonik untuk masa depan. Tahniah dan syabas saya ucapkan kepada PNB,” katanya lagi.

Dalam ucapannya, beliau turut menyatakan pembinaan Merdeka 118 sebagai satu cerminan penyatuan warisan dan sejarah Malaysia dengan evolusi masa depan selain mampu menghidupkan kembali kawasan bersejarah di Kuala Lumpur.

“Usaha ini adalah selaras dengan visi kerajaan untuk membangunkan Daerah Kreatif dan Budaya Kuala Lumpur (KLCCD) melalui Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan kerjasama Think City dan Jabatan Warisan Negara,” katanya lagi.

Merdeka 118 adalah satu projek pembangunan seluas 40 ekar, dengan 50 peratus daripada keluasan tanah tersebut terdiri daripada Stadium Merdeka dan Stadium Negara.

Sementara itu, reka bentuk menara yang dibina diinspirasikan daripada imej Perdana Menteri Malaysia yang pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj sewaktu beliau mengangkat tangan melaungkan ‘Merdeka’, 64 tahun yang lalu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here