Menteri arah TUDM lakukan siasatan terperinci nahas Hawk 108

0
36
Hishammuddin Tun Hussein

KUALA LUMPUR – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) diarah menjalankan siasatan terperinci terhadap insiden pesawat Hawk 108 terhempas yang mengorbankan nyawa seorang juruterbang TUDM di kawasan landasan Pangkalan Udara Butterworth, malam tadi.

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, beliau telah mengarahkan siasatan dilakukan bagi mengetahui punca kemalangan yang berlaku semasa latihan penerbangan malam itu.

Hishamuddin melalui Twitternya tengah malam tadi berkata, kejadian itu telah dimaklumkan kepada beliau oleh Panglima TUDM Jen Tan Sri Ackbal Abdul Samad menerusi panggilan telefon.

“Seorang anggota kehilangan nyawa, seorang lagi cedera. TUDM telah diarahkan segera berikan laporan lebih terperinci dan siasat punca kejadian.

“Takziah kepada keluarga anggota TUDM yang maut dan cedera…amat sedih dan dukacita terima berita ini. Saya difahamkan anggota yang cedera telah dibawa untuk rawatan segera,”katanya.

Dalam nahas itu, juruterbang yang dikenali sebagai Kapten Mohamad Affendi Bustamy maut manakala seorang lagi juruterbang, Mejar Mohd Fareer Omar terselamat dan sedang dirawat di Hospital Seberang Jaya.

Selain itu katanya, Kementerian Pertahanan telah diarah untuk menyalurkan keperluan kepada kedua-dua anggota yang terbabit dalam insiden tersebut.

TUDM dalam kenyataan tengah malam tadi mengesahkan sebuah pesawat pejuang Hawk miliknya terlibat dalam kemalangan kira-kira 10.07 malam Selasa.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here