Menteri Pendidikan nafi keluar kenyataan hukum guru berleter

0
36
Datuk Mohd Radzi Md Jidin

CYBERJAYA – Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Mohd Radzi Md Jidin menafikan bahawa beliau ada mengeluarkan kenyataan berkaitan hukuman terhadap guru sekiranya berleter terhadap murid.

Mohd Radzi menerusi hantaran di laman Facebooknya, berkata, beliau langsung tidak pernah membuat kenyataan sedemikian dan portal yang melaporkan berita itu meletakkan gambarnya seolah-olah dirinya yang keluarkan kenyataan itu.

“Saya kongsikan kenyataan media Kementerian Pendidikan (KPM) berhubung laporan portal berita bertajuk ‘Gempar!!! Bermula esok, guru boleh dihukum sekiranya berleter terhadap murid’.

“Saya langsung tidak pernah membuat kenyataan sedemikian. Portal itu meletakkan gambar saya seolah-olah saya yang keluarkan kenyataan tersebut.

“KPM juga tidak pernah mengeluarkan jadual bertajuk ‘Unit Disiplin KPM: Bentuk-bentuk Hukuman Yang Dilarang’ dalam mana-mana dokumen rasmi KPM,” katanya di media sosial beliau hari ini.

Justeru, beliau meminta orang ramai untuk menyemak kesahihan sesuatu berita sebelum menyebarkannya.

Menerusi satu kenyataan penafian yang dikeluarkan hari ini, KPM memaklumkan terdapat enam tatacara pengurusan disiplin yang dikeluarkan oleh KPM.

i. Peraturan-Peraturan Pendidikan (Disiplin Sekolah) 1959;

ii. Surat Pekeliling Ikhtisas (SPI) Bil. 8/1983: Mengenakan Hukuman Biasa Terhadap Murid-murid yang Melakukan Perbuatan Salah Laku Yang Tidak Dinyatakan Dalam Peraturan-peraturan Pelajaran;

iii. SPI Bil. 7/1995: Tatacara Mengenakan Tindakan dan Hukuman Terhadap Pelajar-Pelajar Sekolah;

iv. SPI Bil. 10/2001: Semua Guru Adalah Guru Disiplin;

v. SPI Bil. 7/2003: Kuasa Guru Merotan Murid; dan

vi. SPI Bil. 7 Tahun 2011: Pelaksanaan Standard Operating Procedure (SOP) 1:3:7 Pelaporan dan Tindakan Menangani Isu Disiplin.

“Sehubungan dengan itu, KPM menegaskan bahawa tatacara pengurusan disiplin murid adalah berdasarkan Garis Panduan dan SPI yang dinyatakan di atas,” kata kenyataan itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here