Mohamadin Ketapi sertai Bersatu selepas lebih sebulan keluar Warisan

0
112
Datuk Mohammadin Ketapi menyerahkan borang permohonan menyertai Bersatu kepada Datuk Seri Hamzah Zainudin

CYBERJAYA – Bekas Menteri Pelancongan, Datuk Mohammadin Ketapi memilih untuk menyertai parti Bersatu selepas keluar daripada Parti Warisan Sabah (WARISAN) dan menjadi wakil rakyat bebas pada bulan lalu.

Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, kelulusan itu dibuat dalam Mesyuarat Khas Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu hari ini.

“Bersatu menyambut baik keahlian beliau kerana ianya bukan sahaja bakal mengukuhkan lagi kedudukan kerajaan negeri Sabah pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

“Malahan ianya juga akan memberikan manfaat yang besar kepada pembangunan serta kebajikan rakyat di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri yang beliau wakili,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada bulan lalu, Ahli Parlimen Lahad Datu dan juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Segama mengumumkan menjadi ADUN Bebas mesra kerajaan negeri Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Mohamadin menjadi pemimpin kedua WARISAN meninggalkan parti pimpinan bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal itu dalam bulan ini selepas ADUN Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob pada 8 Oktober lalu.

WARISAN kini sudah kehilangan tiga wakil rakyat di DUN selepas seorang lagi ADUN parti itu bagi kerusi Sebatik, Hassan A Gani Pg Amir lebih awal mengambil tindakan sama pada Februari lalu.

Dalam pada itu, menyentuh Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak, Hamzah berkata, parti itu memutuskan untuk mengadakan perbincangan lanjut bersama parti-parti komponen dalam Perikatan Nasional (PN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi menentukan strategi dan persiapan menghadapi PRN Sarawak dan sekaligus untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Sementara itu, katanya, Bersatu juga memutuskan untuk mengadakan Persidangan Agung Tahunan (PAT) Bersatu Kelima pada 18 dan 19 Disember ini di PICC, Putrajaya.

Katanya, perhimpunan itu bakal dihadiri oleh 1,600 perwakilan daripada seluruh negara secara fizikal.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here