Muhyiddin lebih percayakan UMNO jaga kesejahteraan rakyat

0
87

MELAKA – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau tidak rela melihat pentadbiran negara jatuh ke tangan Pakatan Harapan (PH).

Di tangan PH, kata Muhyiddin, rakyat mungkin terpaksa berhadapan dengan kancah politik yang tidak akan mereka sukai.

Muhyiddin berkata demikian ketika muncul dalam siaran langsung Pentas PRN Melaka PN, Jumaat lepas.

“Saya tidak rela nak lihat kerajaan PN yang nampak sudah tumbang, disebabkan keadaan begitu, jadi saya mengambil satu sikap yang mungkin luar biasa. UMNO yang tumbangkan saya dan saya mencadangkan agar Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dicalonkan menjadi perdana menteri.

“Untuk apa? Tujuannya adalah untuk menyelamatkan negara daripada terjerumus dan masuk ke kancah politik yang mungkin tidak disukai oleh sebahagian besar rakyat kita.

“Kita tidak bersedia untuk negara kita jatuh kepada Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang, Lim Guan Eng, minta maaf,” kata Muhyiddin.

Bagi menjaga kesejahteraan rakyat, Muhyiddin mengakui beliau lebih percayakan UMNO daripada pihak lain.

“Saya tinggalkan mereka dan bentuk Perikatan Nasional atas sebab untuk menjaga kesejahteraan rakyat maka saya rela Ismail Sabri dicalonkan dan selepas mendapat sokongan daripada semua termasuk 15 Ahli Parlimen UMNO, maka beliau dipilih untuk menjadi perdana menteri.

“Jadi jatuh saya dan naik UMNO,” jelasnya lagi.

Beliau kemudiannya menjelaskan, beliau tidak memilih untuk membubarkan Parlimen selepas penarikan sokongan 15 Ahli Parlimen UMNO terhadap dirinya Ogos lalu, kerana ia “adalah satu tindakan yang tidak bertanggungjawab” memandangkan keadaan pandemik Covid-19 yang semakin meruncing ketika itu.

“Atas sebab itulah saya memilih untuk meletakkan jawatan walaupun dalam perlembagaan, perdana menteri yang hilang majoriti boleh meminta nasihat Agong untuk membubar Parlimen,” jelasnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here