Murid Tahun 1 maut digilis van sekolah

0
863
Tangkap layar dari CCTV ketika kejadian berlaku

SEPANG – Seorang kanak-kanak perempuan Tahun Satu maut selepas dilanggar van yang dinaikinya di hadapan sebuah tadika di sini siang tadi.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 1.10 tengah hari di Taman Dahlia, Bandar Baru Salak Tinggi itu, mangsa disahkan maut selepas mendapat rawatan kecemasan di hospital.

Katanya, siasatan mendapati mangsa dikatakan turun dari van berkenaan dan berjalan di hadapan van sebelum dirempuh.

“Setelah selesai menurunkan kesemua pelajar di tadika tersebut, pemandu van bergerak maju ke hadapan di mana pada masa yang sama mangsa melintas di hadapan van.

“Pemandu van kemudian melanggar mangsa menyebabkan kecederaan parah di bahagian kepala,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pemandu berusia 31 tahun bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya, siasatan awal yang dijalankan mendapati kemalangan berlaku ketika pemandu van menghantar mangsa dari sebuah sekolah kebangsaan ke sebuah tadika untuk transit.

Menurutnya, mangsa di bawa ke unit kecemasan Nilai Medical Centre namun mangsa disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan kecemasan.

“Mangsa dihantar ke Hospital Putrajaya untuk urusan bedah siasat,” katanya.

Katanya, ketika ini, polis sedang merakam percakapan pemandu van berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Terdahulu tular video seorang kanak-kanak berpakaian sekolah maut digilis sebuah van ketika pulang dari sekolah.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here