My Jet tambah 2 pesawat baharu, tampung permintaan kargo

0
98
Mohamed Yunos (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada pelajar Madrasah Waqaf Islamiah Sabah dalam majlis tersebut

KOTA KINABALU – Syarikat penerbangan kargo tempatan, My Jet Xpress Airlines Sdn. Bhd. (MyJet) mengukuhkan lagi kehadirannya dalam sektor logistik dengan menambah dua pesawat baharu jenis Boeing.

Pengerusi Eksekutif MyJet, Mohamed Yunos Mohamed Ishak berkata, dua pesawat terbaharu itu melibatkan Boeing 737-300F dan 737-800F akan diperoleh secara berperingkat selewat-lewatnya pada Februari tahun depan dan akan membawa kargo dari China.

Katanya, Boeing 737-800F mampu membawa muatan sehingga 21 tan dengan tempoh jangkauan penerbangan pesawat itu boleh melebihi enam jam.

“Setakat ini, terdapat empat pesawat sedia ada di Malaysia dengan tambahan dua lagi yang baharu.

“Sebelum ini, kita terbang dari selatan China dan kini akan memfokuskan pasaran di Wuhan, Shanghai, Shandong, Xiamen dan Shenzhen,” katanya.

Terdahulu, beliau hadir majlis sambutan kerjasama pihaknya bersama Kerry Logistics Network (KLN) Limited dan 200 penerbangan Kota Kinabalu ke Macau yang disempurnakan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Abidin Madingkir, semalam.

Turut hadir Pengarah KLN Malaysia, Alan Ng.

Dalam majlis tersebut, sebanyak RM47,000 turut disumbangkan kepada pasukan barisan hadapan dan Madrasah Waqaf Islamiah Sabah.

Dalam pada itu Mohamed Yunos berkata, keperluan pengembangan operasi amat mendesak susulan tiga faktor utama iaitu pembelian barangan dalam talian, pertambahan jumlah barangan dan penerbangan penumpang yang kurang.

Tambah beliau, pihaknya akan menggunakan Kota Kinabalu di sini sebagai platform susulan jarak dekat dengan selatan China.

Mengulas lanjut, Mohamed Yunos turut merakamkan penghargaan kepada petugas barisan hadapan yang bertungkus lumus melawan pandemik Covid-19.

Beliau percaya kejayaan yang dimiliki oleh My Jet kini turut berkait rapat dengan sumbangan jasa dan pengorbanan petugas barisan hadapan tersebut.

Sementara itu, KLN Limited akan menawarkan penyelesaian perkhidmatan penerbangan kargo di rantau Asia dengan menjadikan Lapangan Terbang Macau sebagai hab transit.

Menurut KLN, perkhidmatan penyelesaian itu yang mula diperkenalkan pada Mac lalu adalah bertujuan untuk menyokong perkhidmatan e-dagang syarikat itu kepada pelanggannya terutamanya ketika seluruh dunia bergelut dengan peningkatan kes Covid-19.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here