NASA adakan ujian DART bagi ubah orbit asteroid

0
41
Kapal angkasa DART dibangunkan oleh kumpulan dari Makmal Fizik Gunaan (APL) Universiti Johns Hopkins.

FLORIDA – Pentadbiran Angkasa Lepas dan Aeronautik Kebangsaan (NASA) bakal mengadakan ujian mengubah orbit asteroid di angkasa sebagai persediaan menghadapi kemungkinan insiden pelanggaran objek tersebut dengan Bumi di masa hadapan.

Ujian yang dinamakan sebagai Ujian Pengalihan Asteroid Berganda (DART) itu berpandukan teknik ‘kinetik impactor’ dan menggunakan sebuah kapal angkasa bagi melanggar asteroid tersebut.

Bagi ujian kali ini, asteroid yang disasarkan adalah Dimorphos, sebuah objek berdiameter 160 meter (m).

Objek itu tidak diramalkan memasuki atmosfera Bumi, dengan jarak paling dekat direkodkan adalah sejauh 7.72 juta kilometer (km) pada tahun 2003.

Sekiranya berjaya, ujian pelanggaran kapal angkasa DART dengan asteroid Dimorphos itu dijangka berlaku pada jarak 10.1 juta km antara 26 September dan 1 Oktober tahun hadapan.

“DART merupakan demonstrasi pertama kepada teknik ‘kinetic impactor’ di mana sebuah kapal angkasa dengan sengaja akan berlanggar dengan sebuah asteroid yang berkelajuan tinggi, bagi mengubah haluan objek itu di angkasa,” kata Pegawai Pertahanan Bumi NASA, Lindley Johnson dalam satu kenyataan.

Portal The Drive menyebut, satelit DART yang digunakan dalam ujian itu kini berada di Pusat Pemprosesan Muatan SpaceX di Vandenberg, dan akan dimuat naik ke roket Falcon 9, minggu hadapan.

Roket itu dijadualkan akan dilancarkan pada 23 November depan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here