Nostalgia undi di sekolah lama naik semangat untuk berbakti

0
14
Ab Rauf Yusof ketika membuang undi di sekolah lamanya SK Jeram, Masjid Tanah, Melaka.

MASJID TANAH – Datuk Seri Ab Rauf Yusoh kembali ke sekolah lamanya di sini sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka hari ini.

Beliau berkata, nostalgia menimba ilmu di Sekolah Kebangsaan (SK) Jeram di sini akan dijadikan inspirasi untuk kembali berbakti kepada rakyat di kawasannya.

“Dahulu ia (sekolah) beratapkan nipah dan berlantaikan tanah. Tidaklah sebaik hari ini. Jadi kita berterima kasih kepada kerajaan.

“Kenangan ini menaikkan semangat saya untuk kembali berbakti dan berkhidmat kepada rakyat khususnya di Masjid Tanah,” katanya selepas membuang undi di sini pagi ini.

Sementara itu beliau mengucapkan terima kasih kepada seluruh anggota jentera BN yang bekerja keras selama 20 hari dalam PRN Melaka.

“Alhamdulillah semua jentera berjalan dengan baik dalam mengatur gerak langkah pilihanraya.

“Saya juga berpuas hati dengan format mengundi yang diatur mengikut prosedur ditetapkan,” katanya.

Ab Rauf hadir pada pukul 8.16 pagi di tempat mengundi dan selesai membuang undi di Saluran 1 pada pukul 8.43 pagi.

Rauf yang juga Ketua Umno Melaka berkata, beliau mewakili parti BN berterima kasih atas kepercayaan yang diberikan dan berjanji tidak akan mensia-siakan amanah rakyat.

Di kerusi DUN Tanjung Bidara, Ab. Rauf Yusoh berdepan dengan calon Perikatan Nasional (PN), Mas Ermieyati Samsudin dan Zainal Hasan dari Pakatan Harapan (PH).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here