PAS masih anggap UMNO rakan ‘sekapal’ dalam Muafakat Nasional

0
24
Idris Ahmad

MELAKA – Timbalan Presiden PAS, Idris Ahmad menolak dakwaan parti itu mengambil kesempatan apabila menjalinkan kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) sebagai tohmahan yang tidak berasas.

Sebaliknya kata beliau, pertembungan PAS dengan UMNO adalah pertandingan sihat yang masih mengekalkan nilai-nilai persahabatan selain diterima sebagai keputusan parti yang tidak dapat dielakkan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu berkata, PAS berpendirian bahawa parti itu tetap kekal sebagai pendamai ummah termasuk dalam hubungan UMNO dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

“Muafakat Nasional masih wujud, kita tetap nak mendamaikan supaya kekal perpaduan dalam kalangan kita dan pertandingan dalam PRN ini kita anggap sebagai persahabatan,” katanya pada sidang akhbar bersama calon Pas bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Serkam, Ahmad Bilal Rahudin semalam.

Perkara yang sama turut diumumkan oleh Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man hari ini yang mengakui PAS tidak berhasrat untuk mengundur diri daripada Muafakat Nasional (MN) meskipun berlaku pertembungan kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

TUan Ibrahim berkata, Pas percaya semua pihak tidak mempunyai niat untuk keluar daripada gagasan tersebut kecuali ia dibubarkan.

Dalam pada itu, Idris berkata, semua pihak perlu menerima hakikat pentingnya penetapan prosedur operasi standard (SOP) oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi PRN Melaka.

“Mungkin SOP seperti ini akan berterusan untuk Pilhan Raya Umum ke-15 (PRU15) sebab kita akan hidup dalam suasana Covid-19, maka kita terima hakikat dan patuh pada apa yang dinasihatkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here