Pas sah bertanding di PRN Sarawak-Tuan Ibrahim

0
29
Gambar Hiasan-Bendera Pas

BANGI – Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mengesahkan Pas akan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak pada 18 Disember ini.

Tuan Ibrahim berkata, penyertaan Pas pada PRN Sarawak kali ini dijadikan sebagai kayu pengukur gerak kerja parti tersebut di negeri berkenaan.

Beliau berkata, jumlah kerusi pula masih dalam penilitian kerana Pas akan bertanding kurang daripada 11 kerusi, tidak seperti PRN Sarawak sebelum ini.

“Pas sudah banyak kali bertanding di Sarawak dan Pas Sarawak memutuskan bahawa mereka akan turun bertanding pada kali ini.

“Jumlah kerusi masih sedang diteliti, namun ia tidak besar. Dulu kita bertanding sebanyak 11 kerusi, tapi kali ini mungkin tak sampai jumlah itu untuk melepaskan angin orang politik.

“Kita nak lihat prestasi petugas-petugas yang perlu diberi latihan. Disebabkan kita berdepan PRN Sarawak dalam norma baharu, mereka bersedia dengan suasana tersebut,” katanya ketika sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Denai Sungai Langat di sini hari ini.

Sementara itu, Tuan Ibrahim turut menafikan dakwaan bahawa Pas menentang penyertaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam PRN tersebut.

“Setiap parti politik mempunyai hak untuk bertanding dan mereka juga ada keperluan berbuat demikian.

“GPS bukan komponen dalam Perikatan Nasional (PN). Mereka hanya mesra dengan kerajaan Pusat, jadi saya fikir tujuannya bukan untuk menstabilkan politik di peringkat Pusat.

“Bagi Pas, yang menjadi komponen dalam PN dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), kita sambut baik bukan sahaja Sabah dan Sarawak, malah mana-mana pihak yang menyokong kestabilan politik negara,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here