Pas terus bersama PN dalam PRN Melaka

0
31
Datuk Seri Abdul Hadi Awang

TERENGGANU – Pas akan terus bersama Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, kata Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Abdul Hadi juga memaklumkan Pas bersedia untuk menghadapi kemungkinan untuk berdepan Barisan Nasional (BN) pada PRN Melaka pada 20 November nanti.

“Pas kekal dengan pendirian PN yang  bakal bertanding di semua 28 kerusi yang dipertandingkan dalam PRN pada 20 November nanti.

“Terpulang kepada UMNO, dia hendak ikut PN atau bertanding sendiri. Saya memberi amanat kepada akar umbi agar mendukung PN (dalam PRN Melaka) dan Pas telah bersetuju memakai simbol PN.

“Begitupun, kita masih terbuka untuk berunding dengan UMNO (berhubung calon PRN) sehingga hari penamaan calon (pada Isnin ini) tetapi bergantung kepada piagam (PN),” katanya dalam sidang akhbar selepas memberikan Ucapan Dasar Presiden pada Muktamar Pas ke-67 hari ini.

Menurut Abdul Hadi, Pas masih berpegang teguh dengan Piagam Muafakat Nasional (MN) sebelum ini yang membenarkan kerjasama dengan parti-parti lain termasuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

“Pas tidak boleh dipaksa dengan gesaan agar kerjasama berkenaan hanya melibatkan partinya dan UMNO kerana ia melanggar piagam yang telah dimenterai itu.

“Kalau UMNO boleh bekerjasama dengan MCA dan MIC, kenapa tidak boleh kerjasama dengan Bersatu,” katanya.

Terdahulu hari ini, BN mengumumkan akan bergerak solo dalam PRN Melaka dan bertanding di semua 28 kerusi pertandingkan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here