Pas tolak MN, pilih bersama PN

0
356
Tan Sri Abdul Hadi Awang

CYBERJAYA – Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menegaskan penubuhan Muafakat Nasional (MN) antara parti itu dan UMNO adalah tidak lengkap tanpa penyertaan bukan Islam yang membentuk masyarakat majmuk dalam negara.

Beliau berkata, sehubungan itu ia perlu dilengkapkan dengan penubuhan Perikatan Nasional (PN) yang merupakan gagasan politik lebih besar dalam negara majmuk.

“Pas hanyalah berpegang kepada konsep perpaduan mengikut perspektif Islam, iaitu perpaduan umat Islam dan perpaduan umat manusia yang majmuk termasuklah dalam kalangan bukan Islam.

“Oleh itu, Pas menolak MN yang terbelenggu dengan hanya melibatkan UMNO dan Pas sahaja. Pas juga menolak fahaman yang menafikan adanya masyarakat majmuk yang wajib ditangani oleh gagasan yang lebih besar iaitu PN.

“Gagasan yang ada perlu diubah bentuk dan ikatannya, kerana berlakunya perubahan situasi dan realiti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, katanya, Pas hanya akan menerima MN yang lengkap perjalanannya mengikut perjanjian yang telah dimeteraikan, tanpa bercanggah dengan agenda perpaduan umat yang lebih besar dan berkuasa melalui gagasan politik PN.

Bagaimanapun, katanya, demi agenda perpaduan umat kerjasama antara MN dan PN tidak harus dipisahkan.

“MN dan PN adalah laksana dua dalam sepasang yang tidak harus dipisahkan, sekiranya benar-benar berkonsepkan perpaduan umat dalam negara masyarakat majmuk yang ikhlas.

“Kedua-dua gagasan ini laksana dua tangan dalam satu jasad, kalau dibuang salah satunya akan menjadi cacat. Bahkan, ia juga laksana sepasang kasut yang tidak waras jika dipakai sebelah kasut sahaja,” katanya.

Sementara itu, Abdul Hadi turut menegaskan, Pas bukan parti yang menagih simpati seperti peminta sedekah sahaja tanpa mempunyai maruah bersama Islam.

Malah, katanya, Pas boleh bersama-sama membina negara ini dengan acuan Islam dan bukannya sekadar menjadi parti anak tangga atau parti yang menumpang.

“Pas hanya bersedia menjadi penyelamat negara dengan konsep dan prinsip yang berasaskan kepada perjuangannya bagi menyelamatkan umat keseluruhannya. Bukanlah disebabkan oleh orang tertentu atau kelompok dan puaknya semata-mata,” ujarnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here