PDRM bongkar kegiatan kongsi gelap gunakan nama NGO

0
46

CYBERJAYA – Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya membongkar kegiatan sebuah kongsi gelap yang berselindung di sebalik nama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi merekrut ahli baharu.

Menurut portal Malaysia Gazette, kegiatan itu dibongkarkan selepas PDRM menyerbu sebuah restoran mewah di Seberang Jaya, Pulau Pinang kelmarin.

Serbuan pada pukul 9.30 malam itu dilakukan sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang bersama Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Seberang Perai Tengah.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Rahimi Ra’ais, serbuan dilakukan selepas pihaknya mengesyaki satu kumpulan kongsi gelap yang berselindung di sebalik sebuah NGO sedang menghidupkan kembali pengaruh mereka di utara tanah air termasuk Kedah dan Perlis.

Jelas beliau, kumpulan itu dikatakan menggunakan nama NGO bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

“Dalam serbuan itu, kita menahan 40 lelaki berusia lingkungan 22 hingga 56 tahun yang berasal dari negeri ini, Kedah serta Perlis.

“Ketika serbuan dilakukan, mereka (suspek) sedang mengadakan majlis sesi pengenalan dan pendaftaran ahli baharu.

“Selain itu, hasil pemeriksaan juga mendapati lapan daripada lelaki yang ditahan mempunyai tatu kongsi gelap,” katanya kepada Malaysia Gazette, hari ini.

Turut dirampas dalam serbuan itu 56 buah telefon bimbit, dua bentuk cincin, seutas rantai serta sepasang subang yang mempunyai lambang kongsi gelap.

Mengulas lanjut Rahimi berkata, kesemua suspek kini direman untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966 (Kesalahan menganggotai pertubuhan yang menyalahi Undang-Undang ) dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum dengan penjara tidak lebih daripada tiga tahun atau denda tidak lebih daripada RM5,000 atau kedua-duanya

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here