Peguam Negara fail rayuan kembalikan hukuman mati

0
4330

KUALA LUMPUR – Jabatan Peguam Negara akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menjatuhkan hukuman terhadap enam penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang menyebabkan kematian Pegawai Kadet Laut UPNM, Zulfarhan Osman Zulkarnain.

Memetik laporan Bernama, Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun berkata, pihaknya akan memfailkan rayuan untuk mengembalikan Seksyen 302 Kanun Keseksaan terhadap tertuduh.

“Ya, kami akan memfailkan rayuan,” katanya hari ini.

Lima daripada tertuduh sebelum ini menghadapi pertuduhan membunuh Zulfarhan di bawah seksyen sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan manakala seorang lagi tertuduh didakwa bersubahat membunuh mengikut Seksyen 109 kanun sama yang membawa hukuman serupa.

Mahkamah Tinggi semalam menjatuhkan hukuman penjara 18 tahun terhadap enam bekas penuntut UPNM setelah didapati bersalah atas pertuduhan menyebabkan kematian tanpa niat pada Zulfarhan, empat tahun lalu.

Kesemua mereka telah menjalani hukuman bermula dari tarikh tangkap pada 1 Jun 2017.

Kesemua tertuduh yang kini berumur 25 tahun didakwa melakukan perbuatan itu di dalam bilik 03-05, blok penginapan asrama Jebat universiti itu di Kem Perdana, Sungai Besi, antara jam 2.30 hingga 5.30 pagi dan dalam bilik 04-10 antara jam 4.45 hingga 5.45 pagi 22 Mei 2017.

Mahkamah memutuskan bahawa sebanyak 90 tekapan seterika wap yang dilakukan tertuduh pada anggota badan mangsa telah menyebabkan kematiannya namun ia tidak terjumlah kepada niat membunuh dengan sengaja.


Allahyarham Zulfarhan kemudian meninggal dunia di Hospital Serdang pada 1 Jun 2017.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here