Pek beras sekilogram masuki pasaran dalam masa terdekat

0
55
Pek beras satu kilogram itu akan dijual pada harga RM2.60.

CYBERJAYA – Pengguna boleh mendapatkan pek sekilogram beras yang dijual pada harga RM2.60 dalam masa terdekat.

Laporan Bernama menyebut, pengeluaran pek beras sekilogram itu merupakan inisiatif Kawal Selia Padi dan Beras (KPB) Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dan Padiberas Nasional Berhad (Bernas).

Menurut Ketua Pengarah Pengawalan Padi dan Beras, Azman Mahmood, inisiatif itu secara langsung memberi pilihan kepada pengguna untuk mendapatkan bekalan beras pada harga lebih rendah berbanding pek lima kilogram dan 10 kilogram yang berada di pasaran ketika ini.

Beliau menambah, perkara itu diputuskan ketika mesyuarat pengarah-pengarah negeri KPB, semalam.

“Ketika pandemik Covid-19, kita mendapati ada dalam kalangan rakyat yang terkesan dan sukar mendapatkan beras,” katanya kepada Bernama, hari ini.

Azman berkata, pek beras sekilogram yang mengandungi campuran beras tempatan dan import itu akan dilancarkan bersama beras wangi tempatan di bawah program SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB) dalam masa terdekat.

Program SMART SBB yang menyatukan tanah sawah secara pertanian kontrak atau sewaan untuk meningkatkan produktiviti sawah serta pendapatan pesawah, membabitkan beberapa syarikat peneraju yang akan berfungsi sebagai pengurus projek.

Pesawah yang menyertai program SMART SBB melalui penyertaan berkelompok dan koperasi atau persatuan pesawah akan berunding dengan syarikat peneraju bagi melengkapkan pertanian kontrak atau sewaan dan bebas menanam varieti padi pilihan sama ada padi putih, padi hibrid, padi wangi atau padi organik.

Azman berkata mesyuarat semalam juga bersetuju agar tindakan dibawah Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 (Akta 522) dikenakan terhadap individu yang menyorok benih padi sah dan peruncit yang menjual benih padi melebihi harga siling RM35 bagi setiap 20 kilogram.

“Kita bersetuju untuk mempergiat penguatkuasaan industri padi dan beras bagi memastikan kesejahteraan 300,000 pesawah di seluruh negara serta pengguna,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here