Pelajar UiTM dijangkiti Covid-19 selepas hadiri program kepimpinan sebelum penamaan calon

0
115
Gambar yang tular di media sosial sekumpulan pelajar UiTM menghadiri program kepimpinam di sebuah resort seorang pemimpin politik terkenal di Melaka baru-baru ini.

ALOR GAJAH – Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan beberapa kolej kediaman pelajar di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Lendu, di sini terpaksa ditutup selepas seorang pelajar disahkan positif Covid-19.

Pengarah Kesihatan Negeri Melaka, Dr Rusdi Abd Rahman berkata, pihaknya menerima notifikasi awal daripada Klinik UiTM, Lendu pada petang Rabu memaklumkan seorang pelajar didapati positif Covid-19 selepas menjalani ujian RTK-Antigen.

Katanya, terdapat lapan lagi pelajar lain turut mengalami gejala upper respiratory tract symptoms (URTI).

“Siasatan lanjut mendapati pelajar-pelajar ini telah menghadiri program kepimpinan anjuran sebuah NGO pada 3 hingga 7 November 2021 lalu di sebuah resort di Alor Gajah.

“Sekurang-kurangnya 45 orang pelajar telah menghadiri program tersebut melibatkan pelbagai cawangan UiTM di Melaka dan kesemua sembilan orang pelajar terlibat telah menjalani ujian PCR Covid-19 dan keputusan dijangka akan diperolehi dalam tempoh terdekat,” katanya memetik laporan Astro Awani hari ini.

Mengulas lanjut katanya, pelajar lain yang dikesan sebagai kontak rapat sedang dikenal pasti untuk menjalani pengasingan sebagai langkah awal mengekang penularan jangkitan.

“Beberapa kolej kediaman pelajar di UiTM Lendu, Alor Gajah telah diberikan notis penutupan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit berjangkit 1988 bermula 11 November 2021 sehingga 20 November 2021.

“Jabatan memandang serius perkara yang berlaku ini dan siasatan lanjut sedang dijalankan dengan terperinci dan orang ramai yang menjadi kontak rapat kepada mereka disarankan untuk kuarantin kendiri,” tambahnya.

Beliau memohon orang ramai agar merujuk kepada kenyataaan rasmi oleh KKM dan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) untuk mendapatkan maklumat sahih.

Katanya, pertanyaan mengenai perkara itu boleh dibuat dengan menghubungi Crisis Preparedness and Response Center (CPRC) Melaka di talian 06-2345999 atau melalui e-mel [email protected]

Sebelum ini tular di media sosial beberapa pelajar IPT mendapat jangkitan itu selepas pulang daripada program kepimpinan anjuran pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik di sebuah resort di Alor Gajah di sini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here