Pemain naturalisasi dibenarkan sertai Piala Super ICFL

0
191
Presiden ICFL, Datuk Kamil Moktar (dua dari kanan) dan Pengasas Dijomaa Sdn Bhd, Prof. Datuk Dr Azman Ching (dua dari kiri) dalam majlis penajaan pasukan di Puchong hari ini.

KUALA LUMPUR – Inter Club Football League (ICFL) akan membenarkan pasukan yang menyertai Piala Super ICFL menggunakan khidmat pemain naturalisasi pada saingan tahun hadapan.

Presiden ICFL, Datuk Kamil Mohktar berkata, kebenaran itu diberikan kepada kedua-dua kategori iaitu bawah 14 dan bawah 16 tahun dengan harapan liga pada tahun hadapan berlangsung dengan lebih kompetitif.

Kamil berkata, ICFL membenarkan penggunaan seramai tiga pemain naturalisasi bagi setiap pasukan dan campuran pemain ini diyakini dapat memantapkan lagi permainan setiap pasukan.

“Ketika ini, sebanyak lapan pasukan telah layak untuk menyertai Piala Super IFCL pada September tahun hadapan dan baki baki lapan lagi pasukan perlu melepasi sesi kelayakan terlebih dahulu.

“Peringkat kelayakan bagi setiap zon akan berlangsung pada Mac tahun hadapan dan segala maklumat terkini termasuk pendaftaran akan diuar-uarkan dari semasa ke semasa.

“Pembaharuan pada edisi akan datang ialah ICFL akan menganjurkan dua kategori iaitu bawah 14 dan 16 tahun, ini bagi memberi peluang kepada pemain muda mempamerkan bakat,” katanya.

Dijomaa Sdn Bhd memberi jaminan pihaknya akan memberi penajaan untuk memajukan lagi pasukan ICFL dan DK Armada FC.

Kamil berkata demikian ketika ditemui pemberita majlis penajaan pasukan DK Armada FC iaitu pasukan dibawah pentadbiran Sekretariat ICFL oleh syarikat Dijomaa Sdn Bhd dan Fineline Malaysia hari ini.

Yang hadir sama Pengasas Dijomaa Sdn Bhd, Prof. Datuk Dr Azman Ching, Ketua Pegawai Eksekutif Dijomaa Sdn Bhd, Mustaqim Yong dan Pengedar Tunggal Pelembut Fabrik Fineline Malaysia, Amir Mohd Nasir.

Menurut Kamil, penajaan itu juga antara lain melibatkan tajaan untuk penganjuran Piala Super ICF bawah 14 dan 16 tahun Piala Super ICFL tahun hadapan dan juga edisi-edisi akan datang.

Selain Piala Super ICFL, Kamil berkata, ICFL juga merancang untuk mengadakan klinik atau bengkel bola sepak selain menganjurkan kem motivasi pembangunan bola sepak untuk para pemain remaja bermula peringkat umur 10 hingga 17.

“Begitu juga dengan klinik-klinik untuk jurulatih dan pengurusan juga akan dirancang pada suatu masa nanti, bagi memberi pendedahan kepada mereka cara pengurusan pasukan yang terbaik mengikut garis panduan kelab-kelab profesional selain teknik-teknik latihan yang tepat,” katanya.

Dalam pada itu katanya, bagi meneruskan kelangsungan pemain-pemain Piala Super ICFL ini, para pemain akan dipilih semasa kejohanan nanti untuk mewakili DK Armada FC iaitu pasukan tanpa had umur.

Pemain mengayakan jersi tajaan Dijomaa Sdn Bhd

“Ketika ini, DK Armada FC sedang bersaing dalam Liga Perdana Selangor 2021 dan perancangan ICFL ialah para pemain dapat mempamerkan bakat ke peringkat lebih tinggi,” katanya.

Dalam pada itu, Azman ketika ditemui pada majlis berkenaan berkata, pihaknya bersedia untuk bekerjasama secara lebih mendalam dengan ICFL untuk menaja pasukan berkenaan ke peringkat lebih tinggi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here