Pengganas masjid Christchurch rayu hukuman diringankan

0
307
Penjara Paremoremo, Auckland yang menempatkan penjenayah Brenton Tarrant.

WELLINGTON : Pengganas kulit putih, Brenton Tarrant yang menembak mati 51 jemaah di dua masjid dalam kejadian di Christchurch pada Mac 2019, dilapor akan membuat rayuan bagi mengurangkan hukuman penjara seumur hidup yang dihadapinya.

Tarrant yang dijatuhi hukuman paling berat dalam sejarah perundangan New Zealand dalam rayuannya mengharapkan hukuman dikurangkan selepas mengaku bersalah atas jenayah yang dilakukan.

Peguam yang mewakili penjenayah warga Australia itu, Tony Ellis berkata, anak guamnya mempersoalkan hukuman penjara seumur hidup tanpa mendapat parol terlalu keras.

Bagaimanapun dalam pengakuannya juga, Tarrant yang berusia 31 tahun itu mengaku semua pengakuan yang dibuat itu disebabkan kerana dia menerima layanan yang tidak berperikemanusiaan ketika dalam tahanan.

Ellis berkata, akibat tekanan tersebut, Tarrant memilih untuk mengaku bersalah bagi mengakhiri penderitaan yang dialami di Penjara Paremoremo, Auckland.

Penjara tersebut disifatkan sebagai penjara paling digeruni banduan kerana menempatkan penjenayah-penjenayah yang berprofil tinggi.

Media New Zealand sebelum ini melaporkan Tarrant terpaksa diasingkan daripada tahanan lain dan tidak diberikan akses kepada internet, media, buku dan disekat daripada menerima pelawat.

Sebelum ini, terdapat usaha daripada kerajaan Australia untuk membawa balik banduan itu ke negara asalnya dengan jaminan hukuman dikekalkan.

Bagaimanapun, kedua-dua negara tidak mempunyai persetujuan berkaitan pemindahan tahanan dan New Zealand juga tidak termasuk dalam senarai ‘negara pindahan’ di bawah Akta Pemindahan Banduan Asing (ITP).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here