Penggunaan ivermectin dalam rawatan Covid-19 tidak disyorkan – KKM

0
47

CYBERJAYA – Pihak Kementerian Kesihatan (KKM) tidak mengesyorkan penggunaan ivermectin dalam rawatan Covid-19 kerana penggunaan ubat antiparasit itu didapati tidak mengurangkan risiko penyakit Covid-19 tahap teruk.

Kata KKM dalam satu kenyataan hari ini, keputusan itu dikeluarkan susulan hasil dapatan kajian Ivermectin (I-TECH) ke atas 500 pesakit Covid-19 kategori 2 dan 3.

Kajian itu dilaksanakan ke atas dua kumpulan pesakit, iaitu mereka yang diberi rawatan lima hari Ivermectin (0.4mg/kg/hari) berserta penjagaan standard (kumpulan IVM), manakala satu kumpulan lagi hanya diberi rawatan penjagaan standard (kumpulan standard of care – SOC) berdasarkan garis panduan KKM.

Apabila perbandingan keputusan dibuat, didapati kebarangkalian untuk pulih dari gejala sepenuhnya pada hari ke-5 di antara kumpulan IVM dengan SOC adalah hampir sama, dimana tiada perbezaan yang signifikan dari segi statistik

Menurut penyelidik utama kajian I-TECH, Dr. Steven Lim Chee Loon, Pakar Perubatan Penyakit Berjangkit di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, tiada perbezaan ketara didapati dari segi kemasukan ke ICU, penggunaan alat bantuan pernafasan mekanikal, pemulihan simptom, parameter ujian darah dan resolusi imbasan X-Ray dada di antara kedua-dua kumpulan kajian dilaksanakan.

Dapatan I-TECH itu juga selari dengan kajian berskala besar seperti IVERCOR-COVID19 dari Argentina dan TOGETHER dari Brazil yang tidak menyokong penggunaan rutin Ivermectin dalam amalan klinikal rawatan Covid-19.

Berikutan itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan menyarankan supaya Ivermectin hanya digunakan dalam kajian klinikal dengan pemantauan.

Pada masa yang sama, Dr. Noor Hisham berharap dapatan kajian tempatan ini dapat memberi pencerahan kepada pengamal perubatan di Malaysia dan orang ramai yang sering bertanya mengenai keberkesanan Ivermectin dalam amalan klinikal rawatan Covid-19.

Pengamal perubatan juga diingatkan untuk tidak mengesyorkan penggunaan Ivermectin termasuklah berkongsi pengiklanan mahupun penjualan secara haram Ivermectin dengan tujuan merawat Covid-19 sehingga bukti saintifik yang lebih kukuh tersedia.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here